Perubahan dasar nuklear Iran kini di 'tangan' Trump

Perubahan dasar nuklear Iran kini di ‘tangan’ Trump

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHRAN: Penganalisis menjangkakan penggal kedua Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) akan membawa cabaran besar kepada Iran, yang berpotensi berlaku perubahan dalam hubungan negara itu dengan Barat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pemimpin AS, bersama sekutunya Israel, secara terbuka membincangkan rancangan serangan tentera terhadap kemudahan nuklear utama Iran serta infrastruktur kritikal seperti loji kuasa, termasuk kemudahan minyak dan petrokimia.

Pemimpin Iran, termasuk Ayatollah Ali Khamenei, tetap menentang dan Kor Pengawal Revolusi Islam (IGRC) mengadakan latihan tentera berskala besar, yang kebanyakannya menumpukan pada pertahanan tapak sensitif.

PEMIKIRAN DUA ALIRAN

Selama lebih dua dekad, hubungan Iran dan Barat sebahagian besarnya ditentukan oleh perkembangan dalam program nuklear negara itu dan usaha untuk menghentikan daripada pembangunan bom nuklear.

Teheran secara konsisten menegaskan negara itu tidak bercita-cita memiliki senjata pemusnah besar-besaran.

Baru-baru ini, pihak berkuasa politik dan tentera tertinggi di Iran membincangkan kemungkinan perubahan dasar rasmi Teheran itu, berikutan ancaman keselamatan yang semakin meningkat.

Penganalisis kanan Iran di Kumpulan Krisis yang berpangkalan di Washington, Naysan Rafati berkata, terdapat dua aliran pemikiran di Teheran yang dilihat bercanggah satu sama lain.

Rangka kerja keseluruhan yang dibincangkan kelihatan sama dengan Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA), perjanjian nuklear Iran dengan kuasa dunia pada 2015, mengurangkan beberapa tekanan ekonomi Iran sebagai pertukaran untuk sekatan terhadap program nuklearnya.

Beliau berkata, satu daripadanya kelihatan terbuka kepada kemungkinan rundingan dengan AS, termasuk mengenai program nuklear, manakala satu lagi lantang menyokong usaha untuk mendapatkan senjata nuklear.

“Tetapi, jika kumpulan pertama menang, ia masih memerlukan kesediaan di Washington untuk berunding dengan Teheran – dan memandangkan kelemahan republik Islam itu, kemungkinan akan ada beberapa kecenderungan untuk memberi tekanan lebih keras kepada rejim berbanding melayan konsesi kepadanya,” katanya.

Iran kehilangan satu prinsip strategi pertahanan dengan kejatuhan rejim Bashar al-Assad di Syria dan tamparan yang diterima oleh ‘paksi penentangan’ di seluruh rantau itu.

Negara itu juga terpaksa menghadapi sekatan yang meluas sehingga memberi kesan negatif kepada ekonomi, kejatuhan mata wang, inflasi tinggi serta krisis tenaga.

Di tengah keadaan ekonomi yang teruk, kerajaan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, dijangka menghantar diplomat ke Eropah pada hujung bulan ini untuk rundingan dengan E3 – Perancis, Jerman dan United Kingdom (UK) – yang kelihatan mahu terus terlibat dengan Barat.

PROGRAM NUKLEAR IRAN

Maklumat terkini menunjukkan Iran belum mula pembinaan bom nuklearnya.

Namun, setahun selepas Trump meninggalkan JCPOA, Iran mula meningkatkan tahap pengayaan dan bilangan emparan, mengulangi proses sama selepas serangan Israel terhadap kemudahan nuklearnya dan kecaman antarabangsa.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Iran memasang beribu-ribu emparan baharu sebagai tindak balas kepada kelulusan satu lagi resolusi kecaman yang diperkenalkan Barat terhadapnya di Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Iran kini mengaya uranium sehingga 60 peratus, satu langkah teknikal yang agak dekat dengan lebih 90 peratus diperlukan untuk bom, di mana IAEA melaporkan Teheran mempunyai bahan fisil yang mencukupi untuk beberapa bom.

Peningkatan aktiviti nuklear memberi Iran sedikit pengaruh dalam perbincangan dengan Trump, tetapi ia juga datang dengan risiko yang besar, kata Rafati.

“Teheran sedang mengaya hampir ke tahap senjata dan dengan masa yang singkat untuk bertindak, yang boleh menyebabkan AS atau Israel mempertimbangkan tindakan ketenteraan,” katanya kepada Al Jazeera.

Masa pecah nuklear merujuk kepada tempoh diperlukan untuk menghasil bahan fisil yang mencukupi bagi bom.

Jika Iran memutuskan untuk membangun bom, negara itu perlu mereka bentuk serta memasang senjata, mengintegrasikan dengan peluru berpandu jarak jauh yang mampu membawa kepala peledak nuklear, dan mengujinya.

“Kita masih menunggu kerana Trump akan mengambil alih kuasa dalam beberapa hari, dan belum jelas bagaimana beliau merancang hubungan dengan Iran.

“Pada awal 2025, Iran mungkin tidak meningkatkan aktiviti nuklearnya, kecuali Trump mempertingkat kempen tekanan maksimum,” kata penganalisis itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini