PETALING JAYA: Isu kekurangan guru di sekolah rendah dan menengah sehingga menyebabkan guru terpaksa mengajar mata pelajaran di luar bidang kepakaran mereka terus menjadi cabaran terutamanya bagi subjek kritikal.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, keadaan itu berlaku kerana penempatan guru tidak dilakukan mengikut keperluan semasa selain wujud kekurangan guru opsyen dalam subjek seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah.
“Masalah ini tidak boleh diselesaikan serta-merta kerana ia melibatkan pelbagai faktor seperti kekurangan graduan dalam bidang pendidikan bagi mata pelajaran kritikal dan cabaran menarik lebih ramai pelajar menceburi bidang ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Kementerian Pendidikan sebelum ini dilaporkan memandang serius isu kekurangan guru di sekolah terutama bagi opsyen mata pelajaran kritikal.
Malah, kementerian turut memperluaskan inisiatif pengambilan guru dalam kalangan graduan berpotensi tinggi daripada universiti swasta dan luar negara bagi mengisi jurang kekurangan guru.
Fouzi berkata, kekurangan guru di sekolah menengah lebih kritikal berbanding di sekolah rendah kerana Institut Pendidikan Guru (IPG) mempunyai keupayaan untuk mengawal unjuran pengambilan guru pelatih bagi memenuhi keperluan sekolah rendah.
Katanya, sekolah menengah perlu bergantung kepada graduan yang dihasilkan oleh universiti yang penawarannya tidak seiring keperluan semasa.
Katanya, ini berbeza dengan IPG yang berfungsi secara khusus untuk melatih guru dalam bidang pendidikan rendah dengan nisbah pengambilan pelajar yang disesuaikan dengan permintaan.
“Universiti pula menghasilkan graduan pendidikan berdasarkan program dan bidang yang ditawarkan,” katanya.
Fouzi berkata, ketidakseimbangan ini turut berlaku kerana universiti sering memberi tumpuan kepada pelbagai bidang akademik dan tidak terhad kepada pendidikan sahaja.
“Keadaan ini menimbulkan cabaran besar kepada Kementerian Pendidikan untuk memastikan penempatan guru di sekolah menengah dapat memenuhi keperluan setiap mata pelajaran secara menyeluruh terutama di kawasan pedalaman atau luar bandar,” katanya.
Bagi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pertubuhan IKRAM Malaysia, Profesor Dr. Omar Yaakob, isu kekurangan guru sudah lama berlaku tetapi sukar untuk ditangani.
Katanya, sepatutnya guru mengajar mengikut opsyen ditetapkan dan itulah perancangan pihak pengurusan sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta kementerian.
“Situasi ini memang memberi tekanan kepada sebilangan guru yang perlu berusaha lebih keras bagi memastikan murid mendapat pembelajaran yang terbaik,” ujarnya. – UTUSAN










