DAP pertahan Anwar dalam isu Titah Adendum

DAP pertahan Anwar dalam isu Titah Adendum

ABDUL Aziz Bari (dua dari kanan) dan Howard Lee (tiga dari kiri) pada majlis penyerahan sumbangan bantuan kepada mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Kampung Sri Kinta di Ipoh, semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: DAP akan terus menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebalik tekanan yang dihadapi Perdana Menteri berhubung isu Titah Adendum melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, sokongan itu dibuat ketika pelbagai pihak mempertikaikan kredibiliti Anwar sehingga mendesaknya meletakkan jawatan ekoran dakwaan menyembunyikan kebenaran mengenai titah tambahan.

“Kita menyokong Perdana Menteri. Maknanya apa yang Perdana Menteri cakap dan buat itu kita bersama dengan beliau,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan bantuan untuk mangsa banjir di Kampung Sri Kinta di sini, semalam.

Beliau mengulas perhimpunan solidariti terhadap Najib berhubung isu titah Adendum di Istana Kehakiman, Putrajaya Isnin lalu yang dihadiri beberapa pemimpin pembangkang termasuk Pas.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, himpunan berkenaan hanya bertujuan mempertahankan kuasa dan prerogatif Institusi Yang di-Pertuan Agong daripada sebarang manipulasi selain menyokong usaha sah Najib mendapatkan keadilan.

Abdul Aziz berkata, kesungguhan parti lawan termasuk Pas terhadap perhimpunan solidariti bagi bekas Perdana Menteri itu adalah sekadar helah politik.

“Itu dia punya U-turn ke, corner baring ke, itu dia punya pasal. Itu helah politik dia,” katanya.

Abdul Aziz bersama Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee menyampaikan sumbangan RM500 kepada setiap 34 keluarga yang terjejas banjir di Kampung Sri Kinta, Pengkalan Pegoh, Kuala Pari dan Cempaka Sari pada 1 Disember tahun lalu.

Katanya, masalah banjir di kawasan terbabit sudah berlarutan sejak lebih sedekad lalu dan kini berusaha mengatasi keadaan tersebut menerusi peruntukan serta kerjasama pelbagai agensi kerajaan.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, solidariti yang ditunjukkan Pas terhadap Najib hanyalah untuk meraih laba politik demi mengekalkan sokongan rakyat kepada mereka.

Katanya, apa yang dilakukan parti itu tidak mengejutkan walaupun di luar jangkaan ramai kerana Pas akan mengambil kesempatan atas apa isu sekali pun selagi ia menguntungkan mereka.

Menurutnya, hari ini mereka mempertahankan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 kerana keluarkan Titah Adendum tetapi dulu ketika Sultan Abdullah titah untuk bentuk Kerajaan Perpaduan dengan menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, Pas menolak titah tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×