Jangan biar isu remeh rencatkan kestabilan negara

Jangan biar isu remeh rencatkan kestabilan negara

Anwar Ibrahim bersama Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Shamsul Azri Abu Bakar (tiga dari kiri) pada Majlis Peluncuran Forum Ekonomi Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu-isu remeh tidak boleh dibiar melemah dan mengancam kestabilan terutama ketika kerajaan berusaha memacu ekonomi negara dalam suasana yang mencabar tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebaliknya semua pihak termasuk swasta dan perkhidmatan awam perlu meningkatkan usaha dan fokus dalam bidang masing-masing untuk membawa kebaikan dan perubahan bagi seluruh rakyat Malaysia.

Ini kerana kata beliau, Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam menerokai dan merungkai bidang baharu seperti rantaian blok (blockchain).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebab itu forum ekonomi seperti ini memberi ruang kepada kita seperti yang saya sering tekankan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar (untuk) mengingatkan jentera kita supaya fokus mencari helah dan jalan bagi mengangkat kekuatan ekonomi.

“Saya ada sebut hal-hal yang agak baharu untuk diterokai kerana kalau kita ketinggalan, walaupun semi konduktor di Pulau Pinang sudah agak lama tetapi kalau tidak sedia mene­roka bidang baharu kita akan ketinggalan.

“Kita juga harus membina kekuatan menyeluruh supaya dapat mengangkat (martabat ekonomi dan negara) kita,” katanya dalam ucapan pada Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2025, di sini, semalam.

Tambah Anwar, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia tidak akan meminggirkan negara jiran lain dalam me­ningkatkan taraf ekonomi ma­sing-masing, sebaliknya akan sentiasa mencari jalan untuk menyelesaikan isu-isu rumit termasuk pergolakan di Myanmar.

“Prasyarat utama mengangkat kekuatan ekonomi adalah keamanan, kestabilan politik, dasar jelas… dasar ekonomi yang dapat memacu kekuatan melalui penglibat sektor swasta dan kecekapan sektor awam,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pada 2024, Malaysia berjaya mengekang inflasi, mengurangkan pengangguran dan menstabilkan mata wang negara, mencatatkan rekod ter­tinggi dalam penciptaan pe­kerjaan dan pasaran saham negara juga berprestasi terbaik di ASEAN.

Menurut beliau, tahun 2025 menyaksikan komitmen Malaysia untuk menjadi negara peneraju pasaran global dalam pelbagai bidang.

Anwar berkata, sekarang merupakan peluang untuk me­ninjau peluang baharu seper­ti block chain bagi membina kekuatan menyeluruh dan mengelak daripada ketinggalan, di samping industri semikonduktor yang menjadi antara kekuatan negara.

Katanya, negara justeru itu perlu memperkukuhkan kele­bihan geografinya sebagai laluan utama untuk tenaga elektrik, bakat dan kepelbagaian rantaian bekalan.

“Pada masa sama, kami ingin memperhalusi kepakaran da­lam bidang minyak dan gas, semikonduktor dan kewangan Islam supaya dapat menjadi peneraju pasaran global dalam sektor tersebut.

“Dasar berkecuali dan ke­terbukaan kami terhadap kerjasama menjadikan Malaysia hab terbaik untuk semua,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini