Korea Utara makin mara, raih banyak pengalaman di Russia

Korea Utara makin mara, raih banyak pengalaman di Russia

IMEJ satelit menunjukkan tentera Korea Utara berkumpul di dalam kem kemudahan ketenteraan Ussuriysk, Russia.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) memberi amaran Korea Utara mendapat manfaat daripada tenteranya yang berjuang bersama Russia menentang Ukraine. 

Pyongyang sekaligus memperoleh pengalaman yang berupaya melancarkan perang terhadap jirannya, Seoul.

Russia telah menjalin hubungan diplomatik dan ketenteraan yang lebih erat dengan Korea Utara sejak Moscow menyerang Ukraine pada Februari 2022.

Timbalan Duta AS ke PBB, Dorothy Camille Shea memberitahu Majlis Keselamatan PBB (UNSC), lebih 12,000 tentera Korea Utara berada di Russia dan mula berperang menentang pasukan pertahanan Ukraine di wilayah Kursk, bulan lalu. 

“Korea Utara mendapat manfaat yang ketara dengan menerima peralatan, teknologi dan pengalaman ketenteraan Russia, yang menjadikannya lebih berkemampuan untuk melancarkan perang terhadap jirannya,” kata Shea.

UNSC bersama 15 negara anggota, bermesyuarat mengenai ujian perantaraan baharu peluru berpandu balistik hipersonik jarak jauh yang dilancarkan oleh Pyongyang, Isnin lalu.

“Seterusnya, Korea Utara berkemungkinan tidak sabar memanfaatkan penambahbaikan ini untuk mempromosikan penjualan senjata dan kontrak latihan ketenteraan di seluruh dunia,” tambahnya.

Sementara itu, Duta Korea Utara ke PBB, Kim Song mewajarkan ujian peluru berpandu itu sebagai sebahagian daripada rancangan untuk meningkatkan keupayaan pertahanan negara. 

Beliau malah menuduh AS melakukan tuduhan yang berat sebelah.

“Apabila jumlah kematian orang awam melebihi 45,000 di Gaza, AS memperindah kekejaman pembunuhan beramai-ramai Israel sebagai hak untuk mempertahankan diri.

“Tetapi, ia mencetuskan isu dengan penggunaan sah hak untuk mempertahankan diri Korea Utara,” kata Song kepada UNSC.

Duta Besar Russia ke PBB, Vassily Nebenzia mengulangi tuduhan lama Moscow mengenai AS, Korea Selatan dan Jepun memprovokasi Korea Utara dengan latihan ketenteraannya. 

Beliau juga menolak dakwaan AS, Russia berhasrat untuk berkongsi teknologi satelit dan angkasa lepas dengan Pyongyang dan menyifatkannya sebagai tidak berasas sepenuhnya.

“Kenyataan sedemikian adalah contoh baharu sangkaan tidak berasas yang menjurus ke arah mencemarkan kerjasama dua hala antara Persekutuan Russia dan negara mesra Korea Utara,” kata Nebenzia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×