Kilang sisa elektronik haram digempur, sitaan RM21.6 juta

Kilang sisa elektronik haram digempur, sitaan RM21.6 juta

ANTARA sisa elektronik dan peralatan yang disita di sebuah kilang di Sungai Kandis, Shah Alam, Selangor. - UTUSAN/ROSLI MD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kegiatan sebuah kilang menguruskan sisa elektronik dan bahan buangan secara haram di Sungai Kandis di sini, tumpas selepas digempur pihak berkuasa semalam.

Serbuan kira-kira pukul 8.30 malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota

Pa­sukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.

Memuatkan artikel berkaitan…

Operasi bersepadu itu membawa kepada sitaan keseluruhan dianggarkan bernilai RM21.6 juta dan penahanan 19 warga a­sing yang berada di premis tersebut.

Komander PSP Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Rosli Md. Yusof berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat mengenai aktiviti pe­ngurusan sisa haram yang menjejaskan alam sekitar dan kesihatan awam.

Jelas beliau, operasi khas itu diketuai Pegawai Penyelaras Risikan PSP, Superintendan Mohd. Fadhli Faud dan Deputi Superintendan Mohd. Fakir Fauzi dari cawangan risikan berkenaan.

“Premis itu dipercayai beroperasi tanpa lesen sah dan melanggar beberapa peruntukan undang-undang yang ditetapkan meliputi Seksyen 24, 25, dan 34(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 melibatkan pelepasan bahan pencemar berbahaya seperti logam berat dan sisa toksik ke perairan darat tanpa rawatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Rosli, pelbagai pe­ralatan dan bahan yang digunakan untuk aktiviti pemprosesan sisa elektronik disita bagi tindakan lanjut.

“Sitaan antaranya mesin Pyrolysis, bateri terpakai, kabel, komponen komputer, tayar terpakai dan aluminium. Ke­seluruhan nilai sitaan itu dianggarkan mencecah RM21.6 juta,” katanya.

Kata beliau, seramai 19 individu warga asing China, Myanmar dan Bangladesh berusia 25 hingga 45 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Tangkapan itu dibuat me­ngikut Seksyen 6(1(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal tanpa permit sah dan melebihi tempoh yang dibenarkan. Mereka diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi siasatan lanjut,” katanya.

Tambah Rosli, kesemua barangan disita oleh JAS Sela­ngor dan operasi itu membuktikan komitmen pihak berkuasa da­lam memastikan undang-undang dipatuhi dan kelestarian alam sekitar terjamin.

“Orang ramai diminta terus bekerjasama melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan melibatkan pencemaran atau e-waste bagi tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini