PETALING JAYA: Kelompongan undang-undang dalam isu perkhidmatan sewaan tayar kenderaan berat untuk menjalani pemeriksaan di Puspakom akan ditangani segera.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu tersebut.
“Memang kita tahu perkara ini, ada kelompongan undang-undang di mana apabila seseorang menukar tayar, kemudian dia pergi Puspakom, dia lulus lah.
TUKAR
“Ini sama dalam kes cermin gelap dahulu, orang pakai cermin gelap tidak lulus (pemeriksaan) masuk Puspakom jadi dia pergi kedai aksesori, tukar cermin biasa kemudian bila lulus, dia tukar balik ke cermin gelap.
“Tetapi kita telah tukar peraturan dengan kita benarkan cermin gelap di bahagian belakang,” jelasnya ketika ditemui selepas merasmikan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Putrajaya semalam.
Utusan Malaysia melaporkan sindiket yang menyewakan tayar kepada para pengusaha kenderaan berat seperti lori dan bas bagi membolehkan mereka lulus pemeriksaan Puspakom semakin berleluasa.
Sindiket menyewakan tayar kepada pengusaha dengan anggaran harga dari RM100 hingga RM300 untuk satu tayar bagi membolehkan pemandu membawa kenderaan berat itu ke pemeriksaan Puspakom.
Anthony berkata, memandangkan penggunaan cermin gelap kini bukan lagi satu kesalahan, banyak bengkel dan kedai aksesori kini menukar kepada bisnes sewa tayar pula.
TINDAKAN
“JPJ belum lagi kenal pasti berapa yang terlibat kegiatan ini tetapi kita tidak boleh pergi ke kedai itu untuk ambil tindakan sebab tiada peruntukan undang-undang,” tambahnya.
Beliau berkata, setelah dimuktamadkan nanti, beliau akan mengumumkan pindaan peraturan berhubung isu tersebut dengan berdasarkan model kes cermin gelap sebelum ini.
Ditanya berapa lamakah kegiatan sewa tayar dilaksanakan, Anthony berkata, beliau tiada maklumat kerana masih disiasat dan bukannya mudah untuk dibuktikan.
Kata Anthony Loke, ketika ini, peruntukan undang-undang sedia ada tidak boleh menahan mahupun mengambil tindakan terhadap syarikat-syarikat yang menyediakan perkhidmatan sewa komponen kenderaan termasuk tayar.
“Kita tidak boleh ambil apa-apa tindakan sekarang tetapi kita ada cara untuk mengatasi perkara ini,” katanya.
Pada Isnin lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan pemeriksaan mengejut ke atas 25 premis Puspakom di seluruh negara dengan 69 notis pelbagai kes dikeluarkan ekoran kejadian kemalangan membabitkan isu tayar tercabut.
Sementara itu, Anthony Loke berkata, JPJ menawarkan kompaun khas dengan kadar ata RM150 bagi tiga notis saman selama enam bulan bermula esok.
Tiga jenis notis saman itu ialah saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) (Saman 53A), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).
KHAS
“Biasanya kadar kompaunnya ialah RM300. Jadi kita memberikan satu kadar kompaun khas bermula esok untuk mereka menyelesaikan kompaun ini.
“Usaha itu diharapkan dapat meringankan beban rakyat kerana JPJ tidak pernah pun menyediakan kadar diskaun untuk segala saman,” katanya.
Beliau berkata, saman tertunggak itu boleh dibayar terus melalui kaunter pejabat JPJ, portal awam, mesin kiosk dan juga kaunter bergerak JPJ serta aplikasi myJPJ kecuali melalui MyEG atau Pos Malaysia.
Katanya, pengumpulan mata demerit juga akan dihentikan sementara mulai esok hingga 30 Jun depan untuk satu kajian semula. – UTUSAN










