PONTIAN: Golongan peniaga di negeri ini bersedia menerima lebih ramai pengunjung, termasuk warga Singapura susulan perubahan cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad, mulai minggu ini.
Mereka mengakui tidak menghadapi masalah kerana mempunyai pekerja yang mencukupi, khususnya pada hujung minggu bagi melayan dan memberi perkhidmatan yang baik kepada pelanggan.
Pengusaha Restoran Kopi Tenggek, Ghazaly Ayuib, 54, berkata, jika sebelum kehadiran pengunjung paling ramai pada Jumaat, Sabtu dan Ahad, namun berikutan pertukaran cuti hujung minggu, keadaan tersebut mungkin berubah.
Bagi menghadapi perubahan tersebut, pihaknya akan meningkatkan perkhidmatan kepada pelanggan yang datang supaya mereka berpuas hati dengan layanan yang diberikan.
“Kami juga akan memastikan kualiti makanan sentiasa memenuhi cita rasa pelanggan yang pelbagai sama ada golongan kanak-kanak, orang muda dan dewasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mulai 1 Januari 2025, Johor kembali melaksanakan cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad susulan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pada 7 Oktober lepas, dengan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Ghazaly berkata, kehadiran pelancong dari Singapura biasanya dalam kalangan peminat aktiviti berbasikal, mahupun penunggang motosikal berkuasa tinggi selain mereka yang datang berkeluarga.
Sementara itu, Pengurus Agro Pelancongan Jermanpine, Mohammad Anal Talha, 52, berkata, tiga produk utama yang terdapat di pusat tersebut akan ditambah jumlahnya bagi memenuhi permintaan pelanggan termasuk pembuatan kuih tat nanas yang semakin mendapat sambutan pelanggan, selain jus buah nanas segar serta jualan nanas segar MD2 sebagai ‘ole-ole’.
“Kami bersedia dengan perubahan cuti di Johor yang kini sama dengan Singapura yang mungkin akan berlaku pertambahan jumlah pengunjung pada Sabtu dan Ahad,” katanya.
Bagi Pengurus Kukup Golf Resort (KGR), Mohd. Ishak Abu, persamaan cuti antara Johor dan Singapura dijangka mampu menarik lebih ramai pemain golf dari negara tersebut.
“Pihak kami juga menawarkan harga promosi dengan hanya RM70 bagi permainan 18 lubang dengan pemain perlu mendaftar masuk sebelum pukul 8.30 pagi dengan bayaran termasuk ‘buggy’ dan insurans,” katanya. – UTUSAN











