Sinar baharu kartunis Ujang selepas muflis

Sinar baharu kartunis Ujang selepas muflis

KARTUNIS Ujang atau Ibrahim Anon di sebuah rumah bot di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, baru-baru ini. – UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Kartunis tersohor, Ujang mahu membuka lembaran baharu sempena ketibaan 2025 selepas 24 tahun diisytiharkan muflis.

Ujang atau nama sebenarnya, Ibrahim Anon, 59, berkata, dia menerima pelepasan daripada kebankrapan di bawah Seksyen 33A Akta Insolvensi 1967, berkuat kuasa 29 Julai tahun lalu.

Katanya, kehidupannya kini lebih tenang bersama keluarga dan memberi tumpuan terhadap penghasilan karya secara dalam talian dan pemain industri pelancongan di Tasik Kenyir.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya bersyukur, selepas 24 tahun pertolongan Allah SWT sampai kepada saya. Kini saya bebas hutang serta dapat menjalani kehidupan seperti biasa, tahun 2025 membuka lembaran baharu.

“Selepas diisytiharkan muflis, saya balik kampung dekat Juasseh, Kuala Pilah di Negeri Sembilan. Macam-macam kerja dibuat termasuk jual pasu untuk teruskan kehidupan dan sara keluarga.

“Saya datang ke Tasik Kenyir untuk cari ketenangan sekali gus jadi titik mula dalam bidang ekopelancongan. Saya cuba nasib di luar bidang dengan sewa bot untuk pakej memancing sehinggalah wujudnya program Monsoon Casting Tournament,” katanya ketika ditemui di Tasik Kenyir, di sini baru-baru ini.

Ujang berkata, dia pernah ‘merajuk’ namun disebabkan jiwa telah sebati dengan seni lukis kartun mendorongnya kembali berkarya secara dalam talian yang disiarkan melalui platform media sosial.

“Saya dapat peluang kerja melalui rakan-rakan yang membolehkan saya sara kelu­arga seterusnya bertahan sehingga ke hari ini.

“Pengalaman lalu melalui fasa kehidupan sebagai seorang yang muflis banyak mengajar erti kehidupan. Setelah 24 tahun akhirnya bebas dan saya akan terus bangkit untuk kehidupan yang lebih baik,” katanya yang menetap di Seri Kembangan, Selangor.

Katanya, dia diisytiharkan bankrap tahun 2000 disebabkan masalah harta intelek dan waktu itu dia menerima 19 saman serta berdepan hutang RM1.8 juta dengan syarikat percetakan kerana tidak dapat membayar balik karya yang telah dicetak.

Ujarnya, hasil karya­nya termasuk nama Ujang serta karakter kartun telah didaftarkan sekali gus menyebabkan dia tidak boleh boleh lagi menggunakannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini