PETALING JAYA: Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka cecah 1,700 mata menjelang akhir tahun 2025, berikutan prospek pertumbuhan ekonomi dan keuntungan syarikat tersenarai yang lebih baik, kata penganalisis.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, sektor-sektor yang berpotensi untuk memacu pertumbuhan termasuklah perbankan, tenaga, perladangan, pembinaan dan hartanah.
Katanya, secara umumnya ekonomi Malaysia dijangka terus tumbuh pada kadar yang stabil sekitar 5.0 peratus dipacu oleh permintaan domestik seperti penggunaa swasta and pelaburan swasta serta dasar fiskal yang mengembang dan dasar monetari bersifat menyokong pertumbuhan.
“Dalam pada itu, langkah-langkah untuk mereformasikan ekonomi yang dilaksanakan seperti rasionalisasi subsidi bahan api, kenaikan cukai dan pengenalan cukai baharu bakal mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan yang sekali gus membuka lebih banyak ruang fiskal bagi membantu rakyat dan para peniaga.
“Selain itu, peralihan kepada ekonomi hijau tenaga boleh baharu (TBB) serta penggunaan kecerdasan buatan atau AI bakal melonjakkan potensi ekonomi negara yang lebih lestari dan terangkum.
“Kesemua ini bakal membantu dalam meningkatkan keyakinan para pelabur, para peniaga dan rakyat jelata.
“Namun, aspek komunikasi perlu diperkasakan supaya maklumat dan mesej berkenaan perubahan sampai kepada masyarakat umum yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan budaya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff turut menjangkakan FBM KLCI mencecah 1,700 pada tahun ini.
“Faktor peningkatan akan didorong oleh kemasukan pelaburan asing dan prospek keuntungan syarikat tersenarai.
“Setelah mencecah 1,700 mata, ia dijangka akan kekal di sekitar mata tersebut sepanjang 2025,” ujarnya.
Selasa lalu, FBM KLCI ditutup positif apabila naik 4.65 mata kepada 1,642.33, berbanding 1,637.68 pada penutup Isnin.-UTUSAN










