ACAPKALI diberi peluang bagi membuat liputan berita di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), saya sering melihat ramai kumpulan jemaah umrah.
Jumlahnya sekadar kurang 40 orang; yang cukup penuh bagi sebuah bas ekspres di Tanah Suci namun suasana meriah dek ada banyak kumpulan dari pelbagai agensi berbeza.
Sebenarnya, itulah senario tipikal di terminal berkenaan setiap hari mengulangi imej sama sebelum pandemik Covid-19 yang apabila menyaksikan sempadan dunia perlu ditutup.
Saban tahun pasca wabak tersebut, dianggarkan lebih 400,000 orang pergi menunaikan ibadah sunat itu dan menjadikan warga Malaysia sebagai keenam paling ramai di Mekah.
Trend tinggi dapat disaksikan sepanjang Ramadan meskipun kos pada bulan puasa amat mahal kerana ramai mahu berebut ‘kejar’ ganjaran besar seumpama mengerjakan haji.
Tidak ketinggalan sibuk ialah pakej umrah musim sejuk hujung tahun yang kelazimannya disertai anggota keluarga dan anak-anak yang kebetulan pula sedang cuti persekolahan.
KLIA bukan sekadar menjadi tumpuan bakal jemaah umrah tempatan, malah akhir-akhir ini warga asing terutama negara-negara serantau turut memilih terminal udara tersebut.
Bayangkanlah setiap hari terdapat lebih 10 trip ke Jeddah atau Madinah meliputi pelbagai operator seperti Saudi Airlines, Etihad Airways, Emirates, Turkish Airline dan Air Arabia.
“Antara sebab utama ialah tambang lebih murah berbanding dari negara mereka sendiri,” kata Pengerusi Persatuan Pengurusan Mutawif Malaysia, Dr. Che Zawari Che Ali Alhafiz.
Rahsia ini ujar beliau ketika ditemui saya baru-baru ini, bukanlah perkara pelik bahkan KLIA dianggap mesra penumpang waima lengkap dengan segala prasarana bertaraf dunia.
Sehubungan itu, beliau tidak terkejut apabila Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berhasrat mahu membina balik Terminal Umrah dan Haji dalam Pelan Induk KLIA 2020.
Ia hasil susulan perbincangan positif Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dengan rakan sejawatnya dari Arab Saudi, Saleh Naser Al-Jaseer di ibu kota Riyadh awal Mei lepas.
Idea itu tercetus ketika beliau menghadiri Forum Penerbangan Masa Depan 2024 dan membangkitkan cadangan pertambahan hak pendaratan pesawat umrah sepanjang tahun.
“Kami sendiri pun pernah bawa isu ini kepada pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam usaha menjadikan KLIA sebagai hab umrah ASEAN,” jelas Che Zawari.
Beliau yang gembira dengan pengumuman MAHB itu malah menambah, terminal baharu tersebut memang sudah lama dirancang tetapi tergendala pula lebih tujuh tahun lalu.
Berdasarkan pelan berkenaan, terminal itu buat permulaan mampu menampung kapasiti had lima juta penumpang setahun namun lokasi sebenarnya masih lagi dianggap misteri.
Ada menjangkakan ia bakal dibina sebagai bangunan Satelit B yang bersebelahan dengan Satelit A di Terminal 1 berkeluasan 143,400 meter persegi dan ada 26 unit aerobridge.
Bagaimanapun, ada membuat spekulasi bahawa terminal ini dirancang dalam kawasan Terminal 3 dengan landasan baharu yang akan menjadi landasan keempat KLIA sendiri.
“Setakat ini, kita pun belum pasti lagi dimanakah Terminal Haji dan Umrah tetapi projek itu diharapkan dapat dibina dalam Rancangan Malaysia Ke-13 nanti,” tambah Che Zawari.
Justeru beliau optimis, kewujudan terminal berkenaan akan melonjakkan imej KLIA untuk berperanan sebagai hab pilihan serantau selain faktor kedudukan geografinya strategik.
Pada masa sama katanya, usaha itu akan membantu hampir 1,000 agensi umrah dapat menawarkan perkhidmatannya untuk jemaah luar negara sepanjang transit di Malaysia.
Lebih penting, terminal khas itu memberikan keselesaan kepada bakal jemaah apabila kaunter praperlepasan imigresen Arab Saudi ditempatkan sepanjang tahun secara tetap.
Ketika ini, ia cuma ada ketika musim haji di bawah inisiatif Makkah Route membolehkan jemaah Malaysia tidak perlu lagi melalui pemeriksaan sejurus mendarat di Tanah Suci.
“Saya difahamkan yang kerajaan Arab Saudi masih meneliti isu ini tetapi jika direalisasikan trafik KLIA ke Jeddah pasti naik drastik ada puluhan trip setiap hari,” ujar Che Zawari.
Intihanya, tempias limpahan ekonomi hasil projek ini bukan sekadar menjana sektor penerbangan tempatan, bahkan manfaat jangka panjangnya kepada citra Islam di Malaysia. – UTUSAN










