AS belanja lebih RM98 bilion untuk perang Israel di Asia Barat

AS belanja lebih RM98 bilion untuk perang Israel di Asia Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) membelanjakan lebih AS$22 bilion (RM98 bilion) untuk menyokong operasi ketenteraan Israel sejak 7 Oktober 2023, termasuk di Gaza, Lubnan dan Syria.

Berdasarkan data daripada Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm, AS membekalkan 69 peratus senjata kepada Israel antara 2019 hingga 2023 dan jumlah itu meningkat kepada 78 peratus pada penghujung 2023.

Sehingga Disember 2023, lebih 10,000 tan senjata bernilai AS$2.4 bilion (RM10.7 bilion) dihantar kepada Israel dan jumlah ini meningkat kepada 50,000 tan pada Ogos 2024, melalui ratusan pesawat dan kapal.

Sebagai sekutu utama Israel, AS membekalkan pelbagai peralatan ketenteraan canggih, termasuk peluru berpandu untuk sistem pertahanan Iron Dome, bom berpandu presisi, helikopter CH-53, helikopter AH-64 Apache, peluru artileri 155mm, peluru pemecah bunker dan kenderaan perisai.

Menurut Majlis Hubungan Luar Amerika (CFR), AS menyediakan lebih AS$310 bilion (RM1.3 trilion) bantuan ketenteraan dan ekonomi kepada Israel sejak 1946, selepas diselaraskan mengikut inflasi.

Perjanjian bantuan ketenteraan selama 10 tahun bernilai AS$38 bilion (RM169 bilion) yang ditandatangani pada 2016 kekal berkuat kuasa, memperuntukkan AS$3.8 bilion (RM16.9 bilion) setiap tahun untuk pembiayaan ketenteraan asing dan pertahanan peluru berpandu.

Pakej kecemasan pada 2024 meningkat berbilion dolar, termasuk AS$14.1 bilion (RM63 bilion) yang diluluskan pada Februari dan penghantaran senjata bernilai AS$2.5 bilion (RM11 bilion) pada Mac.

Bagaimanapun, penggunaan senjata itu di kawasan awam mengundang kritikan, dengan pengawasan terhad oleh Kongres AS terhadap pemindahan tersebut.

Sehingga 2024, AS meluluskan lebih 100 perjanjian senjata untuk Israel, termasuk menyokong sistem pertahanan peluru berpandu dan menambah semula stok peluru, namun tindakan itu terus mendapat perhatian serta kecaman kerana impaknya terhadap populasi awam di Gaza.– ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×