KOTA BHARU: Memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sebagai syarat memperbaharui lesen perniagaan di Kelantan hanya terhad kepada tujuh kategori perniagaan makanan dan minuman (F&B).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, tujuh kategori perniagaan berkenaan tidak melibatkan gerai-gerai di tepi jalan tetapi membabitkan perusahaan jenama besar dan dimiliki oleh majoriti bukan Melayu.
Katanya, ia juga hanya berkait dengan premis yang dilanggan oleh orang Islam dengan mensyaratkan SPHM mesti diperoleh terlebih dahulu bagi peniaga mendapatkan Lesen Kekal Perniagaan.
“Tujuh kategori perniagaan berkenaan ialah restoran, kiosk dan medan selera yang beroperasi dalam lapangan terbang, pasar raya dan kopitiam, rantai restoran yang mempunyai lebih daripada satu cawangan serta restoran makanan segera.
“Selain itu, ia melibatkan dapur hotel yang menyediakan dapur dan sekurang-kurangnya sarapan pagi kepada pelanggan, kedai kek dan roti (premis yang menjual bahan mentah membuat roti atau membuat dan menjual sendiri roti), kilang memproses produk makanan, minuman, bahan gunaan dan kosmetik serta pusat penyembelihan ayam,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Kerajaan Negeri Kelantan diterajui Pas digesa supaya menghormati pilihan pemilik perniagaan F&B di negeri itu serta pelanggan mereka termasuk dalam kalangan bukan Islam.
Dalam kenyataan bersama Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Syahredzan Johan berkata, pelaksanaan itu membebankan pengusaha kecil dan sederhana (PKS) yang perlu menanggung kos permohonan sijil halal.
Hilmi berkata, keputusan berkaitan dasar mensyaratkan SPHM tersebut tidak dibuat tergesa-gesa malah diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan sejak 2016 dan diperhalusi oleh Mesyuarat Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan pada tahun 2020.
Katanya, pemilik premis bagi tujuh kategori perniagaan tertentu ini telah diberikan notis awal melalui PBT masing-masing sejak 2020 dan digalakkan memohon SPHM kerana ia bukan wajib.
“Namun perlaksanaannya telah dimulakan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandaraya Islam (MPKB-BRI) pada awal tahun ini sebagai justifikasi untuk menjaga majoriti pengguna di Kelantan yang mana 95 peratus rakyatnya adalah Melayu Islam.
“Walaupun SPHM ini tidak terpakai kepada premis khas untuk bukan Islam, ia akan dikenakan sekiranya premis milik bukan Islam tersebut turut menjual produk makanan kepada pelanggan Islam,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, isu sekatan terhadap hidangan Bak Kut Teh, Char Siu dan Siu Yuk (khinzir panggang) sebagaimana yang dibangkitkan oleh Nie Ching adalah tidak tepat kerana produk tidak halal boleh terus dijual di semua premis bukan Islam untuk pelanggan bukan Islam di negeri ini.
“Tiada halal sebenarnya tidak berkait dengan produk tidak halal dan langsung tidak menghakis ekonomi bukan Melayu sebagaimana dakwaan Nie Ching.
“Keputusan SPHM oleh Pihak Berkuasa Negeri hanyalah berkait dengan premis yang dilanggan oleh pelanggan muslim dengan mensyaratkan SPHM mesti diperoleh terlebih dahulu bagi peniaga mendapatkan Lesen Kekal Perniagaan,” katanya. – UTUSAN










