PETALING JAYA: Pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit untuk Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 menunjukkan situasi ekonomi Malaysia dan juga global berada pada fasa pemulihan yang ketara dan mapan.
Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, dividen ASB tahun ini seperti dijangkakan adalah yang terbaik sejak lima tahun lalu.
“Prestasi syarikat tersenarai juga sudah mula menunjukkan trend keuntungan menaik dan seterusnya memberikan pulangan dividen yang tinggi kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB).
“Selain itu kenaikan harga saham juga menyumbang kepada pulangan ASB yang lebih tinggi,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Rizal berkata, pelarasan gaji Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) juga bakal memberi kesan kepada sumbangan pulangan ASB pada masa hadapan.
“Pengagihan ini juga akan memberi peluang penjawat awam menabung dalam ASB, “ katanya.
Beliau menjelaskan, berkemungkinan pada tahun depan, prestasi ASB berkemungkinan sama sama atau menaik pada kadar 0.5 sen.
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains İslam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berpendapat, pengumuman dividen ASB 2024 memberi khabar berita kepada para pelabur sedia ada dan juga bakal pelabur akan datang mengenai prospek dan masa depan kumpulan.
Jelasnya, pengagihan ini semakin mengukuh dan mampu memberikan pulangan yang kompetitif walaupun berhadapan dengan beberapa isu ekonomi global.
“Dengan kebijaksanaan pengurusan pihak PNB, pulangan yang agak tinggi ini mampu merancakkan lagi jumlah simpanan ASB di masa hadapan dengan andaian ASB di tahun hadapan akan lebih tinggi berbanding 2024.
“Namun apa yang lebih penting adalah kenaikan dividen ASB yang lebih tinggi berbanding lima tahun sebelum ini akan mengembalikan keyakinan pelabur untuk terus melabur ke dalam ASB dan dijangkakan kemungkinan jumlah bilangan penyimpan ASB pada 2025 akan lebih tinggi sekali gus jumlah simpanan ASB akan meningkat secara keseluruhan,” katanya.
Jelasnya, kenaikan dividen ASB 2024 juga menunjukkan sedikit sebanyak tentang kekuatan ekonomi Malaysia yang semakin mengukuh walaupun berhadapan dengan cabaran ekonomi global.
“Selain itu kenaikan dividen ASB 2024 juga memberikan sedikit kelegaan dan keselesaan kepada pelabur ASB yang memerlukan kewangan untuk perbelanjaan di awal 2025 nanti khususnya persediaan anak-anak ke sekolah bagi sesi tahun 2025,” katanya.
Selasa lalu, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit untuk dana utamanya, ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Jumlah tersebut terdiri daripada pengagihan pendapatan sebanyak 5.5 sen seunit dan bonus sebanyak 0.25 sen seunit, dengan jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan sebanyak RM10.1 bilion ini akan memanfaatkan 11.1 juta pemegang unit ASB.
Unit yang dilaburkan semula daripada pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2025.-UTUSAN










