PETALING JAYA: Kementerian Kerja Raya mengakui terdapat kekangan daripada kerajaan untuk memasang lampu di semua jalan termasuk lebuh raya.
Mengulas isu pencahayaan yang kurang di lebuh raya dan berisiko menyebabkan kemalangan, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, fokus kini diberikan kepada kawasan yang lebih kritikal dan mempunyai kes kemalangan tinggi.
“Lampu jalan memang kadangkala terhad dan kementerian tidak mampu menyediakan lampu untuk semua jalan. Bagaimanapun, kita sudah kenal pasti kawasan yang perlu diutamakan seperti kawasan yang banyak kemalangan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam pada itu katanya, pihaknya akan berjasama dengan Kementerian Pengangkutan bagi membantu siasatan kemalangan membabitkan kenderaan berat yang mengakibatkan tujuh maut dalam kejadian di Alor Gajah, Melaka, malam semalam.
Bagaimanapun katanya, pihaknya akan menunggu hasil siasatan berhubung kemalangan itu sebelum mengambil tindakan lanjut.
“Sememangnya kita akan bekerjasama dengan MOT dan bertanggungjawab bagi kes kemalangan tersebut. Bagaimanapun, kita tunggu hingga siasatan lanjut selesai terlebih dahulu,” katanya.
Kelmarin, media tempatan melaporkan sebanyak 825 lori dilaporkan terlibat dalam kemalangan maut dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.
Secara purata, tiga lori terlibat dalam nahas setiap hari, menyumbang kepada 5,364 kematian berbanding 6,024 kematian sepanjang 2023.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata, kemalangan melibatkan kenderaan berat itu adalah sebahagian daripada 17,905 kenderaan yang terlibat dalam kemalangan maut dari Januari hingga Oktober lalu.
Daripada jumlah itu, 15,402 kes membabitkan kereta, diikuti motosikal (1,040 kes), pacuan empat roda (619 kes) dan pejalan kaki (19 kes).
Pada Jun lalu, Dewan Rakyat turut dimaklumkan, sebanyak 652 kemalangan melibatkan kenderaan berat seperti lori kontena, lori kecil dan bas ekspres direkodkan bagi suku pertama 2024. – UTUSAN










