SEREMBAN: Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas membabitkan pengusaha van sekolah tidak berdaftar dan pemilik kenderaan persendirian yang menawarkan khidmat menghantar dan mengambil murid sekolah.
Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd. Rofik Mohd. Yusof menegaskan, isu ‘prebet sapu’ dan pengusaha van sekolah haram bukan baharu berlaku namun sehingga kini ia masih tidak dapat diselesaikan.
‘Isu van sekolah haram ini sudah berlarutan lama namun tiada tindakan penguatkuasaan tegas diambil bagi membanterasnya.
“Ini tidak adil kerana kami berdaftar, mempunyai lesen dan insurans selain berdaftar sebagai kenderaan pengangkutan awam dan perdagangan. Berbanding mereka yang menjadikan kenderaan persendirian sebagai pengangkutan awam.
“Saya rasa tindakan kompaun sudah tidak mencukupi untuk membanterasnya, mungkin kerajaan boleh mengenakan tindakan lebih tegas iaitu melupuskan kenderaan yang disalahguna ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung GPBSM Kali Ke-13 di sini semalam.
Majlis tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri,
J. Arul Kumar.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan penggunaan perkhidmatan van dan bas sekolah melalui kenderaan persendirian yang dilihat semakin berleluasa tanpa ada penguatkuasaan tegas sekali gus meletakkan nyawa pelajar dalam risiko bahaya.
Kebanyakan mereka yang menawarkan khidmat ‘prebet sapu’ itu beroperasi secara haram tanpa permit sah dan tiada Lesen Pengangkutan Awam (PSV).
Malah terdapat kemungkinan kenderaan tersebut telah tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau pemandu tidak mempunyai lesen dan ada antara mereka memandu secara berbahaya kerana ingin mengejar ‘trip’ mengambil serta menghantar pelajar sekolah.
Ia melahirkan kebimbangan ibu bapa terhadap perkhidmatan ini, namun mereka tidak mempunyai pilihan kerana perkhidmatan van dan bas sekolah berlesen sangat terhad. – UTUSAN











