KANGAR: Rakyat negara ini seolah-olah melepaskan ‘geram’ selepas terpaksa menangguh percutian ke Thailand berikutan banjir baru-baru ini, dengan dijangka lebih 100,000 pengunjung bakal menyerbu negara gajah putih tersebut sempena cuti Krismas sehingga hujung minggu ini.
Setakat ini, lebih 30,000 bilik di Songkhla khususnya di Hatyai telah ditempah sehingga 1 Januari depan dengan 90 peratus penginapan tersebut sudah penuh.
Manakala lebih 100 buah bas bakal memasuki Thailand bagi membawa pelancong sepanjang minggu ini selain ramai yang menggunakan kenderaan sendiri, keretapi dan kapal terbang.
Dalam tempoh empat hari bermula Krismas sehingga hujung minggu ini, dijangka lebih RM70 juta duit rakyat negara ini bakal mengalir ke Thailand. Jumlah tersebut mengambil kira seorang pengunjung atau keluarga berbelanja minimum RM700 dalam tempoh percutian tersebut.
Dari Januari sehingga Disember tahun ini, Thailand telah mencatatkan lebih 500,000 kemasukkan rakyat Malaysia khususnya mereka yang bercuti ke lokasi-lokasi seperti Songkhla, Hatyai, Satun, Krabi dan banyak lagi.
Presiden Persatuan Pelancongan dan Perdagangan Halal Thailand-Asia Tenggara, Aida Oujeh berkata, kebanyakkan pelancong dari Malaysia sudah membuat tempahan awal.
Katanya, seperti tahun-tahun sebelum ini khususnya pada akhir tahun, rakyat Malaysia memilih bercuti di Thailand khususnya Hatyai selain kawasan sekitar pantai.
Hasil pemerhatian beliau, lokasi-lokasi tumpuan seperti pasar terapung dan bandar Hatyai antaranya penuh sesak dengan pengunjung Malaysia sejak cuti hujung minggu lalu dan bakal berterusan sepanjang minggu ini sempena cuti Krismas.
“Selain Hatyai yang sentiasa menjadi tumpuan, kawasan-kawasan pelancongan lain seperti Satun, Krabi, Pattani juga diserbu pelancong sempena cuti perayaan Krismas minggu ini. Setiap tahun memang seperti ini, orang ramai bercuti ke Thailand,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Baru-baru ini, ramai rakyat Malaysia yang merancang bercuti ke Thailand mengambil langkah menangguhkan dahulu perjalanan ke negara gajah putih tersebut berikutan banjir.
Tinjauan mendapati Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar selain di Kota Putra, Padang Terap dan ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah penuh sesak dengan orang ramai.
Kesesakan tersebut melibatkan ratusan kenderaan persendirian, kenderaan awam termasuk bas ekspres dan van pelancongan berlaku sejak pukul 6 pagi ketika pintu sempadan mula dibuka kepada pengunjung untuk urusan dokumentasi perjalanan.-UTUSAN











