DAMSYIK: Ketua Badan Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Syria mendedahkan terdapat bukti mencukupi untuk mendakwa individu dengan jenayah antarabangsa.
Bagaimanapun, langkah segera perlu diambil untuk memastikan bukti tersebut selamat dan terpelihara.
Ketua Mekanisme Berkecuali dan Bebas Antarabangsa (IIIM), yang ditubuhkan PBB pada 2016, Robert Petit berkata, terdapat peluang besar untuk menemukan bukti mencukupi bagi mendakwa pelaku yang bertanggungjawab terhadap jenayah antarabangsa di Syria.
Beliau menegaskan pemeliharaan bukti memerlukan banyak penyelarasan antara semua pihak yang terlibat.
“Kita semua memahami dorongan orang ramai untuk masuk (ke penjara) dan mencari orang yang tersayang.
“Namun, perlu ada kawalan untuk mengehadkan akses ke semua pusat ini. Ia perlu menjadi usaha bersama semua pihak yang mempunyai sumber dan kuasa untuk membeku akses tersebut dan memeliharanya,” kata Petit.
IIIM, yang dikenali sebagai Mekanisme, tidak dibenarkan beroperasi di Syria di bawah kerajaan Basahr, tetapi dapat mendokumentasikan banyak jenayah dari luar negara.
Sejak kejatuhan Bashar, Petit dibenarkan melawat Syria, namun pasukannya masih memerlukan kebenaran untuk memulakan kerja mereka di dalam negara itu.
Beliau berkata, pasukannya mendokumentasikan ratusan pusat tahanan, pusat keselamatan, setiap pangkalan tentera, penjara atau kubur besar.
“Kami baru sahaja menyelidik perkara ini dan saya rasa ia akan mengambil masa yang lama, sebelum mengetahui sejauh mana pelanggaran berlaku.
“Pasukan kita telah menghubungi pihak berkuasa baharu untuk mendapatkan kebenaran mengunjungi negara itu dan mula membincangkan rangka kerja bagi membolehkan mandat kami dijalankan,” katanya kepada AFP.
Kompleks Saydnaya, yang merupakan lokasi melaksanakan hukuman mati di luar undang-undang dan penyeksaan, antara lambang kekejaman yang dilakukan terhadap penentang Bashar.
Pintu penjara di Syria itu akhirnya dibuka setelah pakatan pejuang menggulingkan pemerintahan Bashar.
Menurut Balai Cerap untuk Hak Asasi Manusia Syria, lebih 100,000 orang dilaporkan mati di penjara dan pusat tahanan negara itu sejak 2011.
Susulan itu, kebanyakan keluarga tahanan di bawah rejim Bashar meluahkan kebimbangan mengenai pemeliharaan dokumen dan bukti lain.
PERKASA GOLONGAN WANITA
Pemerintah baharu Syria kini komited untuk melibatkan golongan wanita dalam institusi sosial, budaya, politik dan merekrut lebih ramai yang berkelayakan ke dalam sektor kesihatan serta pendidikan.
Ketua Pejabat Hal Ehwal Wanita yang baharu dilantik, Aisha al-Dibs berkata, pentadbiran itu akan membolehkan wanita menyumbang kepada pembinaan semula Syria selepas berdepan konflik selama lebih sedekad.
“Semua mengetahui wanita Syria dari segi sejarahnya, adalah golongan yang mampu memimpin dalam semua bidang.
“Hari ini, kami dalam proses melangkah ke hadapan dan membawa kembali peranannya dalam membina Syria, sebuah negara baharu dan bebas seperti diimpikan semua,” kata Aisha dalam temu bual bersama Al Jazeera di Damsyik.
Beliau turut berjanji untuk menggalakkan wanita dari semua wilayah dan etnik Syria untuk menyertai persidangan nasional akan datang, bagi membincangkan mengenai masa depan negara.
Aisha berkata, penubuhan Pejabat Hal Ehwal Wanita adalah sebagai jawapan kepada soalan mengenai peranan wanita Syria dalam kerajaan baharu.
Selepas penggulingan Bashar, pejuang membebaskan ribuan rakyat Syria daripada rangkaian penjara yang dikendalikan kerajaan rejim.
Menurut Aisha, pejabatnya akan menyediakan laporan mengenai tahanan wanita yang dibebaskan dari penjara dan mengusahakan rancangan komprehensif untuk kebajikan mereka.
Beliau turut berusaha untuk mendapatkan pendakwaan terhadap pegawai penjara yang dituduh melakukan pencabulan hak di dalam pusat tahanan.











