Dividen ASB 2024 dijangka berada paras 5.3 sen hingga 6.5 sen

Dividen ASB 2024 dijangka berada paras 5.3 sen hingga 6.5 sen

MENARA PNB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakar ekonomi menjangkakan kadar dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 sekitar 5.3 hingga 6.5 sen didorong kepercayaan pelabur asing dalam pasaran modal tempatan.

Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, pasaran modal seluruh dunia lebih baik berbanding 2023. 

Katanya, jangkaan tersebut juga berdasarkan sokongan institusi pelaburan tempatan seperti  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) dan institusi amanah dalam pelaburan pasaran modal tempatan.

“Kita juga melihat portfolio Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang lebih pelbagai iaitu usaha kumpulan untuk memperluas dan menambah baik komposisi peleburannya agar lebih pelbagai dan seimbang.

“Faedah kadar pinjaman asas (BLR) iaitu kadar faedah asas yang dikenakan oleh bank-bank di Malaysia ke atas pinjaman semasa yang rendah mendorong aktiviti ekonomi berada dalam keadaan yang rancak tetapi stabil,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Bagaimanapun Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd. Soffian Lee berkata, dividen ASB pada tahun kewangan 2024 dijangka antara 5.0 hingga 5.5  peratus, namun masih tidak melebihi 6.0 peratus melihat kepada ekonomi semasa.

Jelas beliau, ini berdasarkan kepada prestasi kewangan semasa yang semakin baik dan tahap keyakinan pelabur semakin meningkat saban tahun.

“Negara sudah semakin pulih akibat impak pandemik, ditambah pula dengan pertumbuhan positif Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam setiap suku tahun 2024 amat memberangsangkan. 

“Saya menjangkakan mungkin lebih baik dari tahun 2023 namun masih tidak melebihi 6.0 peratus , mungkin dalam 5.0 hingga 5.5 peratus melihat kepada situasi ekonomi semasa,” ujarnya.

Menurut Umi Hamidaton, beliau turut menjangkakan dividen ASB tidak akan begitu jauh perbezaan berbanding tahun lalu. 

“Sehingga hari ini, saya masih yakin ASB kekal sebagai platform alternatif dan pilihan terbaik untuk rakyat yang ingin melabur kerana risiko adalah rendah. 

“Ini perlu diambil kira beberapa faktor luaran yang akan beri pengaruh kepada pasaran contohnya, dasar kewangan negara barat dan ketidakpastian keadaan geopolitik akhir-akhir ini,” katanya. 

Tahun lalu, Amanah Saham Nasional Bhd. mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.25 sen seunit untuk ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, yang terdiri daripada agihan pendapatan 4.25 sen seunit dan bonus 1.00 sen seunit.

Ia lebih baik berbanding dividen ASB bagi 2022, yang membabitkan agihan pendapatan 3.35 sen seunit, bonus 1.25 sen seunit serta bonus tambahan 0.50 sen seunit bagi 30,000 unit pertama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×