BRASILIA: Sebuah jambatan yang menghubungkan dua negeri di kawasan utara dan timur laut Brazil runtuh ketika kenderaan melintas, menyebabkan seorang maut dan menumpahkan asid sulfurik ke Sungai Tocantins.
Jabatan Infrastruktur Pengangkutan Negara berkata, jarak tengah jambatan sepanjang 533 meter yang menghubungkan bandar Estreito di negeri Maranhao dan Aguiarnopolis di negeri Tocantins, runtuh pada petang semalam.
Menurut pegawai, sebuah lori tangki yang membawa asid sulfurik terjunam ke dalam sungai.
Pihak bomba mengesahkan seorang mangsa meninggal dunia dan seorang lagi berjaya diselamatkan.
Ahli majlis bandar Aguiarnopolis, Elias Junior, merakam video meminta pihak berkuasa menyelesaikan masalah jambatan yang dianggap tidak lagi dapat menampung kenderaan berat.
Ketika beliau menunjukkan rekahan besar di bahu jambatan, struktur itu runtuh di hadapan menyebabkannya belari ke belakang.
Anggaran awal menunjukkan sekurang-kurangnya 11 orang terlibat dalam kemalangan itu, dengan dua trak, sebuah kereta dan motosikal terjatuh ke dalam sungai, sedalam lebih 50 meter.
Jambatan Juscelino Kubitschek de Oliveira, yang dirasmikan pada 1960, dibina dengan konkrit bertetulang dan merupakan sebahagian daripada lebuh raya BR-226, menghubungkan Brasilia ke Belem, sebuah bandar yang akan menjadi tuan rumah Persidangan Perubahan Iklim PBB tahun depan.– REUTERS










