Segera ganti aset usang - Utusan Malaysia

Segera ganti aset usang

LAKSAMANA TAN SRI MOHD. REZA MOHD. SANY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
TRAGEDI tenggelamnya kapal selam, KRI Nanggala-402 yang dimiliki Angkatan Laut Indonesia (AL) boleh dijadikan pengajaran mengenai perlunya aset-aset usang tentera segera diganti.

Ini kerana jangka hayat aset yang digunakan di laut di negara-negara beriklim tropika lebih cepat rosak jika tidak diselenggara dengan baik.

Dalam wawancara secara bertulis dengan Utusan Malaysia sempena sambutan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Ke-87, hari ini, Panglima Tentera Laut, LAKSAMANA TAN SRI MOHD. REZA MOHD. SANY yakin proses penggantian dan tambahan aset termasuk membeli dua kapal selam baharu dapat diteruskan walaupun menghadapi pelbagai kekangan.

Diharapkan tiada campur tangan pihak tertentu yang menjadikan pembangunan ketenteraan sebagai tempat membuat tuduhan tidak benar termasuk mendakwa aset dibeli membazir dan lebih mahal berbanding yang diperoleh negara lain.

SIAP SEDIA

UTUSAN: Apa maksud tema sambutan kali ini TLDM Siaga, Kedaulatan Terpelihara?

MOHD. REZA: Pemilihan tema ini adalah selari dengan empat teras hala tuju TLDM iaitu memberi keutamaan kepada kesiagaan Armada TLDM, membangun semula Armada TLDM berlandaskan perancangan Program Transfomasi TLDM 15 Ke 5 (mengurangkan kelas kapal bagi menjimatkan kos) yang diubah suai, meningkatkan integrasi dan sokongan kepada aspek kebersamaan serta menyediakan modal insan terbaik untuk memenuhi keperluan masa hadapan.

Perkataan ‘siaga’ di sini membawa maksud bersiap sedia dari segala aspek dalam menghadapi sesuatu ancaman. Justeru tema kali ini memfokuskan kepada kepentingan untuk memastikan TLDM sentiasa berada pada tahap kesiagaan tertinggi untuk melaksanakan misi iaitu melindungi kedaulatan, integriti wilayah dan kepentingan maritim negara.

Sebagai perisai utama pertahanan maritim negara, TLDM berpegang pada ungkapan “We exist because of the Fleet”. Oleh itu, fokus terhadap kesiagaan, terutamanya Armada TLDM sentiasa diutamakan demi untuk memelihara kedaulatan perairan negara yang kita cintai.

Adakah perancangan Program Transformasi TLDM 15 Ke 5 akan diteruskan?

Program ini akan terus kekal sebagai panduan jangka masa panjang bagi TLDM dalam merancang pelan pembangunan. Ia merupakan satu bentuk living document yang perlu disesuaikan dengan situasi dan cabaran semasa.

Apa yang boleh saya katakan, buat masa ini, tiada sebarang pindaan baharu dibuat ke atas program tersebut. Program ini masih diteruskan seperti mana yang telah dirancang. Sementara itu, kapal-kapal TLDM sedia ada akan terus memenuhi keperluan operasi semasa yang amat kritikal pada masa ini.

Selain itu, perancangan keupayaan TLDM juga disesuaikan dengan garis panduan di dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) dan juga Pelan Pembangunan Keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah dikeluarkan di peringkat Kementerian Pertahanan dan juga ATM.

TINGKAT KEUPAYAAN

TLDM mencadangkan pemerolehan dua kapal selam baharu sebagai tambahan kepada dua aset bawah permukaan air jenis Scorpene sedia ada.

Boleh ceritakan pelan pembangunan TLDM dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang?

Sepanjang tempoh itu, TLDM telah merangka pelan pembangunan bagi meningkatkan keupayaan pertahanan yang antaranya melibatkan perolehan beberapa aset utama seperti 14 kapal misi pesisir (LMS), tiga kapal sokongan pelbagai fungsi (MRSS), 11 kapal ronda generasi baharu (NGPV) dan dua kapal selam.

Selain itu, TLDM juga merancang untuk memperolehi beberapa aset pelengkap atau force multiplier seperti bot tempur pantas (FCB), sistem pesawat tanpa pengendali (UAS) dan juga helikopter antikapal selam (ASW).

Perancangan perolehan bagi kesemua aset ini akan disusun mengikut keutamaan bergantung kepada situasi dan cabaran semasa agar kesiagaan TLDM dapat ditingkatkan ke tahap tertinggi dalam mencapai visi menjadi sebuah angkatan laut yang kredibel.

Bagaimana perkembangan terbaharu perolehan MRSS?

TLDM kini dalam perancangan untuk membuat perolehan sekurang-kurangnya dua MRSS dalam tempoh lima tahun akan datang. Tidak dinafikan, kapal jenis MRSS ini sememangnya amat penting bukan sahaja kepada TLDM malahan di peringkat ATM dan juga negara.

Ia bertujuan untuk memastikan keperluan operasi logistik serta sokongan bantuan kemanusiaan dan bencana alam (HADR) di dalam dan luar negara dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Perolehan MRSS yang mempunyai keupayaan sealift (pengangkutan melalui jalan laut) ini dirancang bermula pada 2024 untuk fasa pertama. TLDM amat berharap kerajaan terus komited dalam menyokong usaha dan rancangan untuk memperoleh aset ini.

Pada masa sekarang, dua kapal logistik sedia ada dalam Armada TLDM dari jenis kapal pemerintahan dan sokongan pelbagai fungsi (MPCSS) iaitu KD Sri Indera Sakti dan KD Mahawangsa yang telah berusia melebihi 40 tahun akan terus beroperasi untuk melaksanakan tugas-tugas bantuan logistik sehingga TLDM memperolehi kapal MRSS ini kelak.

Bagaimana cadangan sewa pajak helikopter untuk operasi maritim?

Buat masa ini, masih tiada keperluan kritikal untuk TLDM melaksanakan sewaan helikopter operasi maritim. Ini kerana kerajaan Malaysia telah menandatangani kontrak perolehan tiga helikopter operasi maritim jenis AW139 dari Itali pada 2 September 2020.

Ketiga-tiga helikopter ini bakal diterima secara berperingkat mulai 2022 hingga 2024. Rundingan bersama syarikat pembekal dan pengeluar juga telah dilaksanakan bagi membolehkan kesemua helikopter diterima lebih awal iaitu pada 2022 tertakluk kepada kemampuan kewangan semasa kerajaan.

PENDIDIKAN

ANGGOTA TLDM perlu lebih berkemahiran dan berkelayakan supaya mampu untuk mengendalikan aset-aset TLDM yang canggih dan berteknologi tinggi. – IHSAN TLDM

Seiring dengan peningkatan teknologi, adakah TLDM akan menaik taraf pendidikan bagi pengambilan anggota lain-lain pangkat (LLP)?

Menyedia modal insan terbaik untuk memenuhi keperluan masa hadapan adalah salah satu daripada empat teras hala tuju TLDM. Justeru, TLDM telah melaksanakan inisiatif menaik taraf pendidikan bagi pengambilan anggota LLP khususnya dari Cawangan Kejuruteraan bermula pada 2018.

Pengambilan Perajurit Muda TLDM bagi Cawangan Kejuruteraan akan dipelawa kepada graduan Lepasan Diploma Kejuruteraan dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) yang mempunyai pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Majlis Akreditasi Teknologi Kejuruteraan (ETAC).

Inisiatif ini secara tidak langsung akan dapat menyediakan TLDM dengan warga yang lebih berkemahiran dan berkelayakan serta mampu untuk mengoperasikan aset-aset TLDM yang canggih dan berteknologi tinggi pada masa kini dan akan datang.

Boleh jelaskan mengenai Royal Malaysian Naval Volunteer Reserve Future Generation 2030 (RMNVR FG 30)?

RMNVR FG 30 adalah inisiatif yang telah dibangunkan dalam menentukan Pasukan Pegawai Simpanan Sukarelawan Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) dapat diperkasakan dan kekal relevan.

Terdapat empat inisiatif utama di bawah program ini yang kesemuanya akan membolehkan warga PSSTLDM menjalani latihan secara lebih fleksibel secara dalam talian tanpa menjejaskan tugasan utama mereka.

On Board Training Programme dan Reservist Support Programme sebagai contoh akan memberi mereka pengalaman secara amali di tempat latihan dan juga pengalaman bekerja secara sepenuh masa di dalam TLDM. Inisiatif yang diwujudkan ini diyakini akan menghasilkan warga PSSTLDM yang lebih kompeten dan berketerampilan serta setanding dengan warga tetap TLDM.

Apakah perkembangan terkini mengenai kompleks Muzium TLDM yang termasuk KD Hang Tuah sebagai galeri terapung?

Pembangunan Muzium TLDM merupakan inisiatif TLDM bagi mengekalkan koleksi warisan dan khazanah sejarah TLDM. Kita telah mengambil pendekatan proaktif dengan mengadakan kolabrasi erat bersama kerajaan negeri Perak bagi membangunkan kompleks muzium tersebut di atas tanah milik kerajaan negeri. Pada masa ini, rancangan itu masih di peringkat perbincangan bersama kerajaan negeri Perak.

Sebagai maklumat tambahan, KD Hang Tuah telah ditamatkan operasi sejak 1 Julai 2017. Ia dilaksanakan sejajar dengan perancangan Program Transformasi TLDM 15 Ke 5 dan mengambil kira status kapal yang tidak lagi efektif dari segi kos untuk dioperasikan.

Kapal tersebut kini berada di Tambatan Pangkalan Lumut, Perak dan dibuka untuk lawatan orang ramai, di samping turut digunakan sebagai platform latihan ilmu kelautan asas kepada para pelatih TLDM.

COVID-19

Bagaimana TLDM meningkatkan penguasaan sempadan negara dalam Op Benteng?

Op Benteng mula dilancarkan pada 12 Mei 2020 dengan penubuhan Pasukan Petugas Khas (NTF) yang bertindak sebagai penyelaras operasi melibatkan kerjasama dari 19 agensi penguatkuasaan dan pasukan keselamatan.

Operasi ini dilaksanakan bagi menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dikhuatiri berisiko menyebarkan wabak Covid-19. Antara langkah-langkah yang dilaksanakan oleh TLDM untuk meningkatkan penguasaan sempadan negara dalam Op Benteng adalah meningkatkan bilangan kapal di laut bagi memastikan perairan negara sentiasa terkawal dari kemasukan PATI.

Kita juga melaksanakan program perkongsian maklumat lebih mendalam dengan agensi penguat kuasa maritim yang lain dan memastikan tahap kesiagaan kapal-kapal yang dioperasikan adalah pada tahap yang tertinggi.

Apakah persediaan TLDM dalam menangani pandemik Covid-19?

Bagi membendung pandemik ini daripada terus menular dalam kalangan anggota, TLDM telah mengambil langkah keselamatan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan. Saya sendiri telah mengeluarkan Direktif Perintah Kawalan Pergerakan Peringkat TLDM pada 19 Mac 2020 sebagai panduan kepada warga TLDM dalam mengekang wabak tersebut.

Antara langkah telah digariskan adalah mengehadkan pergerakan keluar dan masuk pangkalan, menangguhkan aktiviti-aktiviti rasmi yang melibatkan kumpulan besar dan menutup sementara premis-premis dalam pangkalan seperti masjid, rumah ibadat dan sekolah.

Langkah lain adalah menangguhkan/membatalkan lawatan tetamu dan kapal perang asing, melaksanakan pemantauan dan saringan tahap kesihatan warga dan anggota keluarga melalui tanda atau gejala Covid-19, melaksanakan kempen kesedaran dan memperbanyakkan informasi berkaitan pandemik itu dan mewujudkan sekretariat pemantau Covid-19.

Selain itu, TLDM juga telah mewujudkan pusat-pusat kuarantin sendiri di pangkalan-pangkalannya bagi menempatkan warga yang sedang menjalani proses kuarantin.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×