Jadikan ESG sebagai budaya, bukan pematuhan semata-mata

Jadikan ESG sebagai budaya, bukan pematuhan semata-mata

MALAYSIA boleh mencapai kejayaan pelan Strategik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Kebangsaan sekiranya wujud kerjasama sinergi antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAN Strategik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Kebangsaan yang baru-baru ini dipersetujui kerajaan merupakan langkah proaktif untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2030.

Inisiatif ini bukan hanya bertujuan untuk memenuhi standard global tetapi juga mencerminkan komitmen Malaysia untuk menjadi peneraju pembangunan mampan di peringkat antarabangsa.

Dengan unjuran pencapaian 43 peratus sasaran SDG menjelang 2030, yang jauh mengatasi purata global sebanyak 17 peratus, Malaysia berada pada landasan kukuh untuk mencapai aspirasi ini. Walau bagaimanapun, cabaran utama ialah bagaimana pelaksanaan pelan ini dapat diterjemahkan secara berkesan di peringkat akar umbi.

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang menyumbang hampir 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan menjadi tulang belakang ekonomi, berdepan kekangan seperti kekurangan sumber kewangan dan teknikal untuk memenuhi keperluan ESG. Oleh itu, pendekatan yang melibatkan sinergi antara kerajaan, sektor swasta, dan masyarakat amat diperlukan bagi memastikan aspirasi ini dapat direalisasikan dengan jayanya di seluruh ekosistem ekonomi negara.

CABARAN DAN PELUANG PKS

PKS menyumbang kira-kira 38 peratus kepada KDNK dan menyediakan 48 peratus daripada jumlah pekerjaan. Walau bagaimanapun, majoriti PKS menghadapi kekangan kewangan dan teknikal untuk mematuhi garis panduan ESG yang ketat. Seperti yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beban kos menjadi halangan utama. Dalam konteks ini, langkah kerajaan memperkenalkan program latihan penerapan ESG melalui syarikat tersenarai awam, multinasional dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah penting untuk memastikan PKS tidak ketinggalan.

Di peringkat antarabangsa, Jerman memberikan contoh menarik dengan alat digital mereka, Kompas kelestarian, yang membantu PKS memahami dan melaksanakan amalan mampan tanpa membebankan kewangan syarikat.

Sementara Jepun menerusi Dasar Strategi Pertumbuhan Hijau memperuntukkan dua trilion yen (kira-kira RM66 bilion) untuk memberi subsidi dan pengecualian cukai kepada syarikat, termasuk PKS, yang mengadaptasi teknologi hijau. Strategi seperti ini boleh menjadi inspirasi kepada Malaysia untuk menyediakan insentif serupa yang bersesuaian dengan konteks tempatan.

JADIKAN ESG PELUANG, BUKAN BEBAN

Di United Kingdom (UK), program seperti Skim Pelaburan Perusahaan menyediakan sokongan kewangan kepada perniagaan kecil untuk memperkenalkan inovasi mampan. Pendekatan ini membuktikan dengan sokongan yang tepat, ESG boleh menjadi peluang strategik bagi PKS untuk meningkatkan daya saing di pasaran global. Sebagai contoh, Denmark dan Belanda menunjukkan bagaimana syarikat yang mematuhi standard ESG tidak hanya menarik pelabur tetapi juga membuka akses kepada pasaran baharu yang lebih mengutamakan kelestarian.

Denmark, sebagai contoh, menetapkan sasaran menjadi negara neutral karbon menjelang 2050. Syarikat kecil dan sederhana di negara itu memainkan peranan penting dalam usaha ini dengan menghasilkan produk hijau untuk eksport. Malaysia boleh mengadaptasi pendekatan ini dengan memfokuskan sektor strategik seperti tenaga boleh diperbaharui, teknologi hijau dan pertanian mampan. Dengan kekayaan sumber semula jadi dan keupayaan inovasi tempatan, Malaysia mempunyai potensi besar untuk menonjol di pasaran serantau dan global.

PERANAN SEMUA PIHAK

Kejayaan pelan ESG Kebangsaan memerlukan sinergi antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat. Kerajaan memainkan peranan penting dalam menyediakan insentif kewangan seperti pengecualian cukai, pinjaman hijau dan subsidi teknologi mampan.

Di Jepun, pelaburan besar dalam teknologi hijau membolehkan perniagaan kecil dan besar mengurangkan kos pematuhan ESG sambil meningkatkan daya saing global.

Sektor swasta pula bertanggungjawab untuk menerapkan inovasi hijau dan melabur dalam penyelesaian mampan. Di Amerika Syarikat (AS), syarikat teknologi terkemuka menunjukkan keberkesanan pendekatan ini dengan membantu pembekal mereka mengamalkan prinsip ESG, sekali gus mengangkat seluruh ekosistem perniagaan ke tahap pematuhan mampan. Pendekatan ini boleh diterapkan di Malaysia melalui rantaian nilai yang melibatkan syarikat besar dan PKS.

Di peringkat masyarakat, sokongan pengguna terhadap produk mesra alam dan desakan untuk akauntabiliti perniagaan adalah pemangkin penting. Kajian menunjukkan bahawa pengguna semakin cenderung memilih jenama yang mengutamakan kelestarian dan ini memberikan tekanan kepada syarikat untuk mematuhi standard ESG.

Untuk memastikan keberkesanan pelan ESG Kebangsaan, prinsip ESG harus menjadi budaya perniagaan, bukan sekadar keperluan pematuhan. Di negara-negara seperti New Zealand, syarikat-syarikat mula mengintegrasikan ESG sebagai sebahagian daripada strategi perniagaan, yang bukan sahaja membantu menarik pelabur tetapi juga meningkatkan reputasi jenama mereka di pasaran global.

Malaysia boleh memanfaatkan trend ini dengan menjadikan ESG sebagai elemen strategik dalam pertumbuhan ekonomi. Sebagai contoh, sektor pelancongan mampan boleh dimajukan dengan memperkenalkan inisiatif hijau di destinasi pelancongan utama. Dengan menjadikan ESG sebagai budaya, Malaysia bukan sahaja dapat mencapai standard global tetapi juga mencipta kelebihan kompetitif yang unik.

NARATIF POSITIF

Pelaksanaan ESG bukan hanya tentang pematuhan, tetapi juga mewujudkan naratif positif untuk generasi akan datang. Dengan komitmen terhadap prinsip kelestarian, keadilan sosial dan daya saing ekonomi, pelan ESG Kebangsaan dapat menjadi asas kukuh untuk kesejahteraan jangka panjang negara.

Sebagai contoh, Malaysia boleh mengambil inspirasi daripada negara-negara Nordik yang telah lama mengutamakan kelestarian dalam dasar-dasar ekonomi mereka. Finland, misalnya, memperkenalkan program pendidikan mampan yang memberi tumpuan kepada generasi muda untuk memahami kepentingan ESG dalam kehidupan harian. Langkah ini memastikan prinsip kelestarian menjadi sebahagian daripada identiti nasional.

Pelan Strategik ESG Kebangsaan adalah peluang besar bagi Malaysia untuk menunjukkan komitmen terhadap pembangunan mampan dan tanggungjawab global. Kejayaannya bergantung kepada sinergi yang erat antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat.

Dengan mengambil inspirasi daripada negara-negara lain dan mengadaptasi strategi kepada konteks tempatan, Malaysia mampu merealisasikan aspirasi ESG sambil mencipta masa depan yang lebih mampan dan kompetitif di peringkat antarabangsa.-UTUSAN

 

DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Wang dan Bank, Universiti Utara Malaysia (UUM) & merupakan ahli Forum Ekonomi Manusia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×