Suri rumah bahagia ‘berkebun’ di estet

Suri rumah bahagia ‘berkebun’ di estet

kebun mini milik Wan Nadia Syakira Wan Zulkifli di kediamannya di kuarters Estet Asahan di Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM ini, kebanyakan masanya dihabiskan dengan rutin-rutin lazim seperti memasak, mengemas dan menguruskan anak sahaja.

Lama-kelamaan, jiwanya dihimpit kebosanan apatah lagi menghuni di kawasan kuarters Estet Asahan di Melaka yang jauh dari bandar.

Enggan situasi itu berlarutan, Wan Nadia Syakira Wan Zulkifli, 29, memilih aktiviti berkebun bagi mengisi masa terluang di rumah.

Langkah pertamanya bermula dengan menanam anak pokok kari dan kesum yang dibawa dari kampung halaman di Terengganu, pada Mac lalu.

Percubaan itu membuahkan hasil, lantas mendorongnya mengusahakan lebih banyak tanaman.

“Asalnya, saya langsung tiada minat untuk bercucuk tanam kerana rasa leceh, tetapi bila anak makin membesar, masa pun banyak terluang.

“Untuk hilangkan jemu, saya cuba-cuba tanam sayuran dan tidak sangka ia hidup subur hingga membuak-buak lagi semangat,” katanya kepada Seri.

Dalam tempoh sembilan bulan, pekarangan rumah yang dahulunya kosong bertukar menjadi kebun mini.

Daripada cuma dua pasu di peringkat awal, jumlahnya melonjak kepada 70 buah pasu.

Antara yang ditanam ialah sawi, kangkung, bayam, salad, tomato, terung, timun, limau purut, limau kasturi, kucai, daun sup, ketumbar, pucuk putat, ulam raja serta pegaga.

Perkembangan tersebut sekali gus mengindahkan lagi suasana kediaman Wan Nadia Syakira dan suami, Muhammad Syamil Zulkefli, 29.

Sebelum berjinak-jinak dalam hobi itu, dia mengakui lebih banyak terperap di rumah.

“Tinggal di estet tidak semeriah di pekan atau bandar, hendak keluar pun jauh, paling dekat adalah Jasin yang mengambil masa 40 minit.

“Tetapi bila mula berkebun, rasa bosan itu hilang sekelip mata dan hari-hari menjadi lebih bermakna sebab dapat ‘bersahabat’ dengan pokok.

“Malah, kami tiga beranak sentiasa rasa teruja mahu melihat perkembangan setiap pokok yang dijaga dari kecil hinggalah fasa tuaian,” katanya.

Wan Nadia Syakira berkata, aktiviti itu berfungsi sebagai terapi minda yang menjadikan mood lebih ceria dan bahagia.

Malah, dia tidak terkecuali ‘bersembang’, ‘membebel’ dan ‘meluahkan perasaan’ setiap hari dengan pokok-pokoknya.

Tidak beli sayur di pasar

Sejak aktif berkebun, ibu kepada anak lelaki berusia dua tahun ini sudah berhenti membeli sayuran di pasar.

Tanaman itu kini dipetik secara segar di kebun mini di rumahnya.

Istimewanya, kesemua sayuran dan herba itu digunakan dalam masakan harian keluarganya.

“Sekarang saya sudah tidak beli sayur dan makan apa yang ditanam sahaja.

“Setiap hari menu sayur wajib ada atas meja sebab suami dan anak merupakan penggemar sajian itu,” kata bekas guru pendidikan awal kanak-kanak ini.

Jika hasil tanamannya berlebihan, Wan Nadia Syakira turut berkongsi rezeki itu dengan jiran-jiran sekeliling di kuarters.

Ujarnya, perbelanjaan dapur turut dapat dijimatkan sekali gus membolehkannya membeli lebih banyak barangan basah untuk keperluan mereka tiga beranak.

Menarik tentang tanaman yang diusahakan wanita ini adalah kerana kesemuanya menggunakan pasu.

Ia selaras dengan syarat pihak pengurusan kuarters yang tidak membenarkan penghuni bercucuk tanam di atas tanah.

Bagaimanapun, ia tidak membataskan keinginannya untuk bereksperimentasi menanam tanaman berbuah di dalam pasu.

“Saya mahu cabar diri tanam pokok yang berbuah pula dan projek ini sudah dimulakan sejak sebulan lalu menerusi timun mini,” katanya.

DIY set hygrowbox

Bagi memastikan tanaman subur, dia mencuba pelbagai teknik termasuk hygrowbox.

Langkah itu membolehkan sayuran dan herba ditanam secara hidroponik dengan banyak serta cepat tanpa perlu disiram.

Namun, set peti khas miliknya itu berbeza dengan yang dijual di pasaran kerana dihasilkan sendiri (DIY) menggunakan dulang bakeri, untuk menjimatkan kos.

“Dua dulang diperlukan dengan salah satunya dilubangkan di bahagian tengah dan kemudian diletakkan kapas saringan sebelum dimasukkan sabut kelapa.

“Dulang di bahagian bawah pula diletakkan air baja dan ia perlu sentiasa ditambah memandangkan versi saya ini tiada kemudahan paras air seperti set peti khas canggih di pasaran,” katanya.

Sehingga kini, sudah lima bulan dia mengusahakan tanaman hygrowbox dengan menggunakan dulang DIY itu.

Idea kreatifnya itu mendapat pujian dalam kalangan pengikut di TikTok, bahkan ada yang meminta izin untuk meniru cara sama.

Sementara itu, katanya, tempoh tuaian sayuran mengambil masa antara 24 hingga 45 hari.

“Kangkung boleh dituai selepas 24 hari diikuti sawi pula pada hari ke-31.

“Jika perkembangannya terbantut di fasa anak pokok, maka tempoh tuaian akan menjadi lebih lama,” katanya.

Formula ABC

Mengulas mengenai cara penjagaan, katanya, aktiviti berkebun tidak sesusah disangka jika memiliki ilmu pengetahuan yang lengkap.

Prinsip asasnya adalah formula ABC iaitu air, baja dan cahaya yang mencukupi bagi memastikan tanaman sihat dan subur.

“Dahulu individu yang pandai bercucuk tanam sering digelar ‘tangan sejuk’, namun itu cuma mitos sahaja kerana sesiapa pun boleh mendapatkan hasil sedemikian jika tekniknya betul.

“Selain formula ABC, seseorang juga perlu tahu tentang campuran dan rawatan tanah di samping baja serta semburan serangga,” katanya.

Katanya, rutin pembajaan perlu dibuat secara konsisten selang dua minggu dengan yang paling mudah adalah menggunakan air beras.

Manakala, siraman pula dilakukan sebanyak dua kali sehari iaitu pada pagi dan petang diikuti semburan serangga seperti cuka kayu mengikut keperluan.

“Bila berkebun, cabaran utamanya adalah serangan serangga yang berisiko menyebabkan tanaman rosak atau mati.

“Jenis-jenis serangga pun berbeza bagi setiap pokok contohnya kesum yang sering dihinggapi bena putih dan semut manakala kumbang api pada timun serta peria diikuti beluncas, ulat bulu, belalang serta ulat pelombong,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×