NAYPYIDAW: Diplomat tertinggi Myanmar memaklumkan negara jiran bahawa kerajaan junta merancang untuk mengadakan pilihan raya pada 2025, menurut laporan media.
Menteri Luar Thailand, Maris Sangiampongsa berkata, rakan sejawatannya dari Myanmar, Than Swe, memberitahu pegawai kanan dari lima negara jiran termasuk China, Bangladesh dan India bahawa negaranya menggariskan pelan hala tuju politik.
Katanya, ini termasuk kemajuan dalam persiapan pilihan raya, meliputi bancian penduduk dan pendaftaran 53 parti politik, lapor Bangkok Post.
“Beliau menyatakan hasrat untuk menjemput pemerhati asing, seperti dari negara jiran,” kata Maris kepada pemberita di Bangkok, semalam.
Mesyuarat di Bangkok itu dihadiri pegawai kanan dari Thailand, China, India, Bangladesh dan Laos.
Satu lagi mesyuarat bersama menteri luar dan wakil negara jiran Myanmar dijadualkan hari ini, yang akan dihadiri beberapa anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).
Myanmar terus dilanda konflik meluas sejak rampasan kuasa pada 2021, dengan junta menghadapi tentangan ketara daripada kumpulan bersenjata etnik dan pasukan prodemokrasi termasuk PDF, sayap bersenjata NUG.
Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) awal bulan ini menggesa agar tindakan antarabangsa terhadap krisis yang semakin memuncak di Myanmar diperbetulkan, apabila jumlah kematian orang awam melebihi 6,000.
Bulan lalu, pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengumumkan pejabatnya sedang memohon waran tangkap terhadap ketua junta Myanmar, Min Aung Hlaing, atas tuduhan pengusiran dan penganiayaan masyarakat Islam Rohingya.- AGENSI










