“KITA mesti mempertahankan hak setiap kanak-kanak untuk mendapat pendidikan walaupun dalam situasi konflik dan krisis dan kita mesti ingat bahawa ini mengenai memastikan masa depan yang lebih cerah untuk umat manusia.” – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Pada Jun 2023 kerajaan mengesahkan suatu rang undang-undang (RUU) baharu bagi menubuhkan Suruhanjaya Kanak-Kanak telah mula didraf. Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said turut berkata proses pendrafan, pada ketika itu, sedang dimuktamadkan untuk pembentangan di Parlimen.
Lebih setahun selepas janji ini disulam, masih belum muncul tiba RUU yang diuar-uarkan akan melancarkan pergerakan Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) secara bebas daripada pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
Bahkan, pada April lalu, menteri sama turut mengesahkan pindaan kepada Akta Suhakam yang memformalisasikan institusi OCC di dalam Suhakam.
Pindaan kepada Akta Suhakam ini seolah-olah isyarat untuk mengatakan lambat lagi baru Malaysia akan melihat tertubuhnya Suruhanjaya Kanak-Kanak sebagai badan induk dan bebas yang dipertanggungjawabkan untuk memperkasa suara golongan itu dalam proses penggarapan dasar negara.
Selepas begitu banyak masalah sosial yang memangsakan kanak-kanak, saya tertanya mengapa Suruhanjaya Kanak-Kanak masih tidak dilihat sebagai perkara yang mendesak dan mustahak di peringkat kerajaan?
Mungkin benar, pada ketika Akta Suhakam dipinda sekitar April lalu negara tidak melihat kemustahakan Suruhanjaya Kanak-Kanak diwujudkan. Tetapi kini, selepas insiden melibatkan lebih 600 orang kanak-kanak yang diselamatkan daripada gerakan ajaran sesat seperti Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH), mustahil kerajaan boleh mengatakan tiada keperluan yang mendesak.
Tambahan pula kes penderaan kanak-kanak sentiasa menunjukkan trend peningkatan yang membimbangkan. Pada tahun ini sahaja, sebanyak 2,240 kes penderaan kanak-kanak direkodkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara sehingga Ogos lalu.
Bagi menangani isu malar sebegini, Malaysia memerlukan setiap usaha yang kemas dan kerangka kerja yang lebih menyeluruh. Tanpa badan khusus yang menjadi pemantau dalam proses pemakaian dasar mengenai kanak-kanak, dikhuatiri masalah sedia ada akan berterusan.
Sebagai contoh, pada Oktober lalu, kerajaan berjaya meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan kewarganegaraan anak-anak yang lahir di Malaysia terpelihara. Fokus utama dalam pindaan itu mengambil kira hak kanak-kanak untuk mendapatkan akses pendidikan asas yang akan tergencat tanpa pemilikan kewarganegaraan yang sah.
Jika wujud suruhanjaya yang khusus untuk memantau hak kanak-kanak, sudah tentu penguatkuasaan pindaan ini dapat ditelesuri dengan lebih baik di setiap peringkat. Malangnya, tanpa badan khusus yang didedikasikan untuk mendalami sejauh mana pindaan tersebut berjaya mengukuhkan hak dan akses pendidikan kanak-kanak di Malaysia, dikhuatiri masyarakat akan terus bergantungan kepada statistik kerajaan semata-mata.
Selain itu, minggu ini heboh bilamana akhbar-akhbar utama melaporkan kesan lambakan material pornografi kepada kanak-kanak. Ada yang membincangkan daripada sudut kebolehcapaian dan kekangan sosial yang tidak memadai. Ada juga yang menyebut tentang perubahan neurologi akibat pendedahan kepada pornografi yang akhirnya membantutkan perkembangan emosi, rohani dan jasmani kanak-kanak secara sihat.
Saya tertarik untuk mengaitkan perbincangan ini kepada statistik yang disiarkan sebuah akhbar tabloid, baru-baru ini mengenai jenayah sumbang mahram. Trend sejak 2023 melihatkan umur pelaku jenayah ini semakin hari semakin muda. Sudah tentu kesan yang paling utama dan jelas kini sudah terserlah apabila semakin ramai penjenayah seksual yang muncul daripada golongan kanak-kanak.
Memandangkan sifat rentan seorang kanak-kanak secara semula jadi, maka lebih mudah orang yang boleh dimangsakan daripada keluarga terdekat yang lebih muda daripada mereka.
Adakah isu ini telah diselesaikan dengan adanya pindaan terkini yang dimasukkan ke dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998? Tidak mungkin kita dapat membincangkan isu ini secara terpencil tanpa mengakui kekangan dan kegagalan setiap olahan undang-undang dan dasar kepada kanak-kanak. Kerana itulah, penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak tidak boleh berterusan dilengah-lengahkan lagi.
JANGAN TANGGUH
Adakah kita mengharapkan seorang Pesuruhjaya Kanak-Kanak yang ditempatkan di bawah Suhakam mampu memantau kepentingan lebih 9 juta orang kanak-kanak di Malaysia? Adakah kita sekarang ini bagai berdenah tidak, terpeluk sarang tabuhan dengan melewat-lewatkan penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak ini?
Hak kanak-kanak bukanlah sesuatu yang kita boleh tangguhkan atau mengharapkan masalah akan pergi dengan sendiri tanpa campur tangan kerajaan untuk menyelesaikan. Dengan pelbagai isu yang timbul dalam memastikan nyawa, keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak terpelihara, maka setiap langkah yang cermat perlu diambil segera.
Ini termasuklah dengan kerajaan mengotakan janji sekian lama untuk menubuhkan Suruhanjaya Kanak-Kanak.
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










