Gas sarin masih hantui rakyat Syria, desak Bashar dihukum

Gas sarin masih hantui rakyat Syria, desak Bashar dihukum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAMSYIK: Selama 13 tahun rejim bekas Presiden, Bashar al-Assad dan keluarganya melancarkan perang dahsyat ke atas rakyat Syria, penggunaan senjata kimia yang jelas dilarang oleh undang-undang dan konvensyen antarabangsa kekal sebagai sejarah paling hitam konflik di negara itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut laporan 2019 oleh Institut Dasar Global, rejim Syria melakukan 98 peratus daripada sejumlah 336 serangan senjata kimia semasa perang, manakala selebihnya dikaitkan dengan pengganas ISIS.

SERANGAN GAS SARIN

Serangan yang disahkan berlaku dalam tempoh enam tahun antara 2012 dan 2018 itu dilaporkan menyasarkan kawasan yang dikawal pembangkang sebagai sebahagian daripada dasar hukuman kolektif yang lebih luas.

Penduduk di pekan dan daerah pinggir bandar Damsyik paling teruk terjejas, begitu juga perkampungan di gabenor seperti Homs, Idlib dan Rif Dimashq.

Rangkaian Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) menganggarkan kira-kira 1,514 orang maut dalam serangan itu termasuk 214 kanak-kanak dan 262 wanita.

Di Ghouta Timur, mangsa memberitahu Al Jazeera mereka masih tidak dapat melupakan igauan ngeri itu dan parut menyakitkan kekal dalam ingatan ramai penduduk Syria walaupun menarik nafas lega dengan pengunduran Assad.

Seorang penduduk, Amina Habya teringat dia masih berjaga ketika mendengar jeritan di luar tingkapnya di Zamalka, Ghouta, pada malam 21 Ogos 2013.

Rejim Assad baru sahaja melepaskan roket yang dipenuhi gas sarin ke Zamalka, dan orang ramai menjerit, ‘Serangan senjata kimia! Serangan senjata kimia!

Amina berkata, dia segera menekup hidungnya dengan tuala basah sambil berlari ke tingkat tertinggi bangunan kediamannya bersama anak perempuan dan menantu lelakinya.

Oleh kerana bahan kimia lazimnya lebih berat daripada udara, penduduk sedar tahapnya di atas bangunan mungkin kurang tercemar.

Mereka selamat, tetapi Amina mendapati suami dan anak lelakinya yang tiada di rumah, serta menantu perempuan dan dua lagi anaknya yang sedang tidur, semuanya mati lemas.

“Kematian ada di mana-mana,” kata wanita berusia 60 tahun itu sambil berkongsi gambar mayat lapan kanak-kanak dibalut selimut hitam yang ditemui selepas serangan gas sarin itu.

Dua daripadanya adalah cucu Amina.

Kira-kira 1,127 orang terbunuh dalam serangan itu, manakala 6,000 yang lain mengalami gejala pernafasan akut.

“Penyelamat menemui lima orang mati di dalam bilik air. Beberapa mayat ditemui di tangga dan sebahagian lagi di atas lantai. Yang lain meninggal dunia ketika mereka sedang tidur lena,” kata wanita itu.

MAHU KEADILAN

Kekurangan kesan terhadap rejim itu menimbulkan kemarahan rakyat Syria, dengan ramai mangsa serangan 2013 masih mendambakan keadilan.

Anak perempuan Amina, Eman Suleiman, 33, berkata, dia mahu masyarakat global membantu mempertanggungjawabkan Assad atas jenayah kekejamannya, mencadangkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) boleh mendakwanya.

Bagaimanapun, Syria pada masa ini bukan ahli Statut Rom, perjanjian yang memberikan bidang kuasa kepada mahkamah.

Satu-satunya cara ICC boleh membuka kes di Syria adalah jika pihak berkuasa baharu menandatangani dan mengesahkan statut itu.

Usaha mendakwa Assad juga mungkin berhasil jika Majlis Keselamatan Pertubuhan-Bangsa- Bangsa Bersatu (UNSC) meluluskan resolusi yang membenarkan mahkamah menyiasat kekejaman di Syria.

Menurut Human Rights Watch, Assad dan pembantu terdekatnya secara teori boleh didakwa dengan senarai panjang penderaan berat, termasuk penggunaan senjata kimia yang mungkin merupakan jenayah terhadap kemanusiaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini