PETALING JAYA: “Upah minimum penjawat awam perlu sekurang-kurangnya melangkaui atau melepasi garisan tahap pendapatan garis kemiskinan negara iaitu RM2,208”.
Itu antara gesaan dan elemen yang perlu ditambah baik daripada Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) terhadap Sistem Saraan Malaysia (SSM).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Adnan Mat berkata, sudah sampai masanya kerajaan membuat penjajaran baharu dari segi upah berdasarkan lantikan terendah pada masa kini iaitu Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan seterusnya.
Katanya, hal ini berikutan kelayakan terendah pada SSM sedia ada adalah Peperiksaan Tingkatan Tiga (PT3) dan sudah tentu gajinya rendah.
“Justeru itu, upah yang paling berbaloi hendaklah berasaskan kepada kelayakan yang mereka ada kerana minimum kelayakan sekarang adalah di peringkat diploma, dan ramai juga yang meneruskan di peringkat ijazah. Sekarang ini sudah tidak ramai yang berada di peringkat SPM dan PT3.
“Kita juga menuntut melalui sistem saraan supaya adanya elemen-elemen kenaikan gaji, peluang kenaikan pangkat dan kelayakan masuk atau gaji berasas sijil, kepakaran atau gaji berasas taraf pendidikan yang sedang mereka ada.
“Dan bagaimana sistem itu mampu tarik pasaran kerja di sektor awam, beri keselesaan pada perkhidmatan awam dan boleh memenuhi kehendak awam untuk memiliki tiga perkara iaitu perbelanjaan harian, pengangkutan dan perumahan. Tiga faktor ini perlu dipenuhi,” katanya ketika dihubungi semalam.
Baru-baru ini, Cuepacs menggesa kerajaan menyemak semula sistem itu yang telah diguna pakai oleh perkhidmatan awam selama ini bagi memenuhi keperluan ekonomi dan kos sara hidup semasa.
Sistem saraan penjawat awam pada tahun 1976 adalah di bawah Jawatankuasa Gaji Kabinet, tahun 1992 bertukar kepada Sistem Saraan Baharu, 2002 kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM), dan bertukar kepada Sistem Baharu Perkhidmatan awam pada tahun 2012 tetapi dimansuhkan kerajaan kerana Cuepacs pada masa itu tidak bersetuju.
Adnan berkata, pihaknya memahami keadaan sekarang agak sukar bagi kerajaan memenuhi tuntutan Cuepacs dan memenuhi semua kehendak rakyat.
Namun katanya, sememangnya pihaknya tidak mengharapkan ia direalisasikan dengan segera, tetapi persediaan dan penjajaran sistem itu dapat dibuat lebih awal yang dapat memberi keselesaan kepada penjawat awam.
“Walaupun benda itu belum dilaksana, sekurang-kurangnya kita sudah ada satu kaedah, satu sistem,” katanya.
Tambah beliau, mengikut unjuran setiap 10 tahun yang sering dilakukan kerajaan, tahun hadapan adalah waktu terbaik dan kerana itu perlunya persediaan lebih awal dari sekarang.
“2022 adalah waktu terbaik selepas 10 tahun dari 2012, walaupun pada dasarnya Cuepacs mencadangkan setiap lima tahun ada perubahan gaji,” katanya. – UTUSAN











