Pada 14 Disember lalu, kita kehilangan bintang dunia tari negara, Datuk Tharuwat Ismail Bakti. Pemergiannya merupakan satu kehilangan yang amat besar, lebih-lebih lagi saya bertuah sempat mengenali beliau.
Semasa anak-anak masih kecil, Tharuwat menjemput kami menghadiri kelas gamelan dan tarian asyik di pekarangan rumahnya yang penuh dengan khazanah budaya. Ramai yang menghadiri kelas tari menari dan bunyi-bunyian itu meraih kenangan indah tidak terhingga.
Adiguru tari, Tharuwat pernah satu ketika dulu menjadi tarikan utama dunia dramatari dari Malaysia. Beliau memukau penonton di London, Tokyo, New York dan banyak lagi pentas antarabangsa. Perjalanan hidup sebagai perekatari dan penari utama bermula di Kota Bharu, Kelantan hampir 80 tahun yang lampau.
Ayahandanya, Ismail Bakti merupakan ketua seni budaya adat istiadat istana di Kelantan di bawah kelolaan Datuk Bijayalola Ketua Adat Istiadat Istana. Pada 1938, Ismail Bakti menubuhkan Kelab Suara Muda di Kota Bharu, yang kekal hingga kini.
Sukan, seni budaya dan persembahan teater menjadi fokus dan Tharuwat yang masih kecil, mengikut segala kegiatan kelab di rumahnya. Apabila Ismail Bakti memerlukan pengganti penari atau pelakon, Tharuwat bersama adiknya Shazali menggantikan pelakon yang tidak hadir. Mereka belajar dan mempunyai kelebihan dalam menari makyung, menora, gunungan, garung, payang, ayam didik, zapin, joget dan lain-lain.
Bagi Ismail Bakti, tari bermakna ritma, muzik, gerakan, sajian, ekspresi dan penceritaan, yang mana semua itu ajar kepada Tharuwat sejak usia muda. Rumah Ismail Bakti itulah pusat latihan dan juga tempat pakar tari mencipta lagu untuk karya-karya rekatarinya. Ia adalah kehidupan yang penuh disiplin, latihan tanpa henti dan muzik yang begitu menusuk jiwa.
Tharuwat pernah menceritakan pengalaman pertamanya ke Kuala Lumpur ketika berusia 12 tahun. Beliau meninggalkan Kota Bharu bersama ayahnya, perjalanan itu memakan masa dua hari. Mereka terpaksa menyeberangi dan menyelusuri sungai dan menaiki 26 feri kesemuanya. Pengalaman feri Kuala Terengganu-Dungun-Paka amat membahayakan kerana begitu dekat dengan ombak besar, menyebabkan Tharuwat mabuk laut.
20 penari dan 12 ahli pemuzik pergi lebih awal dengan menaiki kereta api. Alat muzik dan busana diangkut dengan bas. Di zaman itu, ia merupakan usaha yang amat besar demi membawa segerombolan pasukan untuk persembahan tarian. Namun, ini bukanlah calang-calang persembahan.
Gerombolan Ismail Bakti dijemput khas oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Tarian istana, tarian asyik, dipamerkan untuk pertama kali di luar Kelantan iaitu di Istana Negara sempena Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Tarian itu sekali lagi menjadi ciri istimewa dalam majlis makan malam yang diadakan di rumah perdana menteri pada malam berikutnya untuk tetamu antarabangsa.
Ini adalah antara sebab mengapa kita begitu terhutang budi dengan sumbangan keluarga Tharuwat. Pada masa dahulu, daya tarikan asyik dan muzik yang mempesonakan terpendam dalam pemikiran rakyat sebagai titik tolak seni mahupun budaya yang halus. Sejak itu, atas keprihatinan pemerintah tertinggi, penghargaan terhadap budaya berkembang sebagai salah satu khazanah tidak ternilai.
Dari Kuala Lumpur pada 1940-an dan 1950-an ke pentas dunia pada tahun 1970-an, gerakan seni budaya Melayu khususnya, berkembang pesat menjadi kebanggaan di seluruh dunia.
LAHIRNYA SEORANG ADIGURU
Pada 1959, Tharuwat berusia 15 tahun dan sudah mula merekatari di Istana Diraja Kelantan. Tidak lama selepas itu, seluruh keluarga berpindah ke Kuala Lumpur. Pada 1963, Tharuwat mula mengajar asyik, di antara tari-tarian lain, di ibu kota. Penari dari seluruh negara berkumpul di rumah sewa di Kampung Baru.
Gerakan tarian Melayu berkembang menerajui identiti budaya Malaysia. Dari latar belakang klasik, Tharuwat yang berpengalaman mula melihat wawasan yang lebih besar untuk tarian Melayu. Taridra (drama tari) memang sebahagian besar daripada penentasan dunia Melayu seperti yang dapat dilihat dalam makyung dan mek mulung.
Kini, tiba masanya untuk tarian tradisional berkembang sealiran zaman. Pendekatan kontemporari bersandarkan asas kukuh tarian Melayu klasik menjadi kekuatan Tharuwat.
Melalui tarian dan muzik, irama dan jiwa, karya seni yang lebih indah memukau lebih dari kata-kata. Pada 1979, Tharuwat membantu merekacipta Jentayu untuk Datin Ezani Ahmad, yang kemudiannya dipertunjukkan secara antarabangsa. Kerjasama ini berterusan sehingga penghasilan makyung, Cempaka Emas.
Beliau turut menerajui pementasan Cik Siti Wan Kembang pada 1987 untuk persidangan raja-raja. Beliau menganggap Raja Bersiong yang dipersembahkan di Dewan Ashashimbro, Tokyo, pada 1990, adalah antara karya tarinya yang terbaik.
Tharuwat mengajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaya (UM) sehingga bersara. Cintanya kepada seni tari menjadikan beliau ahli aktif dalam Kumpulan Mawarku, sebuah organisasi untuk penari yang dipimpin oleh Datuk Shazalli Ismail Bakti.
MELESTARIKAN HARTA BUDAYA
Saya sempat menyaksikan kali terakhir Tharuwat beraksi mempersembahkan Tarian Asyik Sasang dengan Kumpulan Mawarku pada 2015. Ketika itu beliau berumur 70 tahun. Tharuwat berkata tarian itu darah daging hidupnya. Bagi beliau, ini adalah warisan diturunkan bapanya dan beliau yakin tarian klasik akan terus dilestarikan.
Namun begitu, beliau menyatakan tarian moden Melayu mesti mempunyai asas yang kukuh dalam tarian tradisional untuk mengekalkan nurani Malaysia. Untuk itu, perlu wujud pemahaman yang mendalam dan berkesinambungan dalam tarian, muzik dan semua aspek persembahan, termasuk busana tarian.
Jika tidak, keaslian dan perisian bentuk seni ini akan terjejas sekali gus lenyap ditelan zaman.
Kini, Tharuwat sudah tiada. Pusat Kebudayaan Tari Melayu yang berfokus kepada tarindra, makyung, mek mulung dan seumpamanya masih dinanti-nantikan. Pusat sebegini sudah tentu boleh membantu memberi peluang kepada kebangkitan serta keberlanjutan ekonomi dari pementasan demi pelancongan yang berpotensi menguntungkan.
Sebagai contoh, pereka kostum dan tukang perhiasan tradisional serta pandai emas boleh membuat rekaan bagi produksi teater mahupun koleksi edisi terhad untuk pelancongan selain daripada barangan standard mereka. Begitu juga, pereka pentas dan prop boleh melakukan perkara sama untuk kepingan teater dan lain-lain kemahiran.
Sesungguhnya, apa jua pendekatan, sesuatu harus dilakukan untuk menyelamatkan dramatari dan bentuk tarian klasik Malaysia.-UTUSAN
PENULIS ialah pemerhati sosiobudaya dan penulis bebas.










