Perkasa sektor awam bukan sekadar gaji

Perkasa sektor awam bukan sekadar gaji

PEMERKASAAN sektor awam yang lebih luas bukan sahaja dari aspek kewangan semata-mata melalui Skim Saraan Penjawat Awam (SSPA) tetapi bagi memastikan sektor ini efisien dan berkesan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKIAN lama menanti, selepas 13 tahun tiada semakan gaji di jalankan, tumpuan 1.6 juta penjawat awam yang merupakan ‘tulang belakang’ kerajaan terarah kepada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 yang berlangsung pada 16 Ogos lalu.

Pada majlis tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perincian pelarasan gaji. Pengumuman ‘durian runtuh’ itu disambut baik semua penjawat awam dengan ceria.

Pemerkasaan sektor awam yang lebih luas bukan sahaja dari aspek kewangan semata-mata tetapi melalui Skim Saraan Penjawat Awam (SSPA) yang baharu ini akan memperkasakan sektor awam. Ini bagi memastikan sektor ini efisien, berkesan, bukan hanya kenaikan gaji tetapi juga aspek lain seperti pembangunan profesional, kemudahan bekerja, persekitaran kerja yang kondusif dan yang paling penting kecemerlangan kerja serta kebajikan keseluruhan kakitangan.

Latihan dan pembangunan profesional merupakan pelaburan strategik yang membantu perkhidmatan awam mencapai keberkesanan operasi dan pertumbuhan jangka panjang.

Latihan berterusan dapat membantu pekerja memperoleh kemahiran baharu dan memperbaiki yang sedia ada. Seterusnya meningkatkan kecekapan dan produktiviti dalam melaksanakan tugas.

Perubahan dalam teknologi, proses kerja dan industri memerlukan pekerja untuk sentiasa mengemas kini pengetahuan serta kemahiran bagi memastikan mereka dapat menyesuaikan diri dengan perubahan ini.

Pelaburan yang berterusan dari segi pembangunan profesional dapat meningkatkan kualiti kerja. Pekerja yang terlatih dengan baik lebih cenderung untuk menghasilkan kerja berkualiti tinggi, mengurangkan kesilapan dan meningkatkan keseluruhan prestasi perkhidmatan awam.
Dengan adanya inisiatif berterusan sebegini, ia menunjukkan kerajaan menghargai perkembangan pekerja, yang boleh meningkatkan motivasi dan kepuasan kerja.

Ini juga membantu dalam mengurangkan kadar keluar masuk pekerja.

Dalam masa sama, usaha ini membolehkan pekerja mengembangkan kemahiran kepimpinan dan menggalakkan inovasi dengan membekalkan mereka dengan alat dan pengetahuan untuk berfikir secara kreatif, patuh kepada standard perkhidmatan awam dan membuat keputusan yang lebih baik.

Peluang yang luas dalam pembelajaran berterusan dapat memberikan peluang untuk melanjutkan pelajaran, mengikuti latihan lanjutan atau menghadiri seminar dan bengkel. Ini membantu meningkatkan kemahiran dan memberi laluan kepada kemajuan kerjaya. Dengan usaha sedemikian, ia juga dapat menekankan kepentingan profesionalisme, disiplin dan etika kerja yang tinggi, setanding dengan piawaian sektor swasta.

Kerajaan dan majikan perlu menyediakan suasana kerja yang menyokong dan mendorong produktiviti setaraf yang disediakan syarikat besar dalam sektor swasta. Kepimpinan berkesan dan pengurusan baik dapat juga membantu mencipta suasana kerja yang positif, memberikan bimbingan jelas dan menyokong perkembangan profesional pekerja. Ini termasuk menyediakan kemudahan seperti ruang kerja yang selesa, teknologi terkini, tempat letak kereta atau kemudahan sukan dan rekreasi kerana ia dapat meningkatkan kepuasan kerja mahupun kesejahteraan umum penjawat awam.

Faedah seperti diskaun khas, kemudahan pendidikan untuk anak-anak atau keistimewaan lain boleh menjadi faktor penting dalam meningkatkan kesejahteraan penjawat awam.

Begitu juga dalam memastikan keseimbangan antara tugas di pejabat dan kehidupan peribadi. Kebajikan dan kesihatan penjawat awam perlu dijaga sebaiknya. Pihak kerajaan mestilah menyediakan sokongan kesihatan mental dan fizikal yang mencukupi.

Faedah kesihatan komprehensif, termasuk insurans kesihatan, rawatan pergigian dan kesihatan mental penting untuk memastikan kesejahteraan fizikal dan mental penjawat awam. Ini termasuk pemerkasaan dalam menyediakan fleksibiliti waktu kerja, cuti bersalin/paterniti, cuti tahunan yang mencukupi dan sokongan untuk penjagaan keluarga dapat membantu menjaga keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi.

DUDUK SAMA RENDAH, BERDIRI SAMA TINGGI
Pekerja mestilah berdaya saing, duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan pekerja swasta untuk memastikan perkhidmatan awam terus relevan, cekap dan mampu memenuhi keperluan masyarakat yang semakin kompleks.

Untuk mencapai matlamat ini, budaya kerja yang menggalakkan kreativiti dan inovasi mesti diwujudkan. Penjawat awam perlu diberi kebebasan dan sokongan untuk mencuba pendekatan baharu dalam menyelesaikan masalah. Perbanyakkan penganjuran pertandingan atau program inovasi untuk mengemukakan idea-idea baharu dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Peluang kerjasama dengan sektor swasta, dalam dan luar negara terus diadakan bagi memastikan perkongsian serta kerjasama untuk memahami amalan terbaik selain memperbaiki proses kerja dalam perkhidmatan awam. Ini juga dapat mewujudkan platform perkongsian pengetahuan antara penjawat awam dan sektor swasta melalui seminar, bengkel, forum serta lawatan penanda aras.

Seperti sektor swasta yang berorientasikan pelanggan, perkhidmatan awam perlu menumpukan kepada kepuasan rakyat, menyediakan perkhidmatan yang responsif, cepat dan mesra pengguna. Kita mesti mewujudkan sistem maklum balas yang mudah diakses dan cekap untuk menangani aduan atau cadangan daripada orang awam. Dengan mengamalkan langkah-langkah ini, penjawat awam boleh menjadi lebih berdaya saing, efisien dan profesional, setanding dengan pekerja dalam sektor swasta, sambil terus memenuhi peranan penting mereka dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan negara.

Kenaikan gaji penjawat awam, boleh memberi impak positif yang meluas, menyumbang kepada peningkatan kualiti perkhidmatan awam, kesejahteraan individu dan pertumbuhan ekonomi.

Kenaikan gaji boleh meningkatkan semangat kerja dan motivasi, menyebabkan penjawat awam lebih berdedikasi, lebih cemerlang dan produktif dalam menjalankan tugas.

Selain daripada itu, kenaikan gaji sering dilihat sebagai bentuk pengiktirafan atas usaha dan pencapaian yang mendorong penjawat awam untuk terus berusaha keras, lebih cemerlang serta berkualiti.

Kakitangan yang dilengkapi dengan kemahiran terkini memberi kelebihan kepada perkhidmatan awam dan kerajaan dalam pasaran yang kompetitif, membolehkan mereka menawarkan perkhidmatan atau produk yang lebih baik serta lebih inovatif.

Ini juga merupakan penyuntik semangat kepada semua untuk terus menerus memberi perkhidmatan yang lebih baik dan cemerlang kepada masyarakat.-UTUSAN

 

 

ARINAH Othman ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pembangunan Bahasa dan Akademik Pra-Universiti (CELPAD), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.

NORAZILEE Abd. Aziz ialah Timbalan Pengarah Kanan, Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC @UIAM) Kuantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×