Tamatkan ‘sengsara’ 40 tahun Paya Garok

Tamatkan ‘sengsara’ 40 tahun Paya Garok

AIR Sungai Tembeling melimpah ke atas jalan dan sebuah kediaman dalam kejadian banjir pada 10 hingga 12 Disember lalu di jalan Paya Garok di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

JERANTUT: Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang dua minggu lalu, seorang Exco Kerajaan Negeri Pahang menjelaskan Jalan Jerantut-Kuala Tahan di Paya Garok, Padang Piol dan Sungai Retang di Jerantut akan dinaik taraf dalam Roling Plan Ketiga, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan sudah diangkat kepada Kementerian Kerja Raya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pelan projek itu masih dalam penambahbaikan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan dijangka bermula tahun depan. Ia sudah tentu memberi kelegaan khususnya penduduk apabila kemudahan yang dinantikan sejak lebih 40 tahun lalu bakal direalisasikan.

Namun tempoh lebih 40 tahun untuk melihat pembangunan menaik taraf jalan raya di Paya Garok melalui petempatan pesisir Sungai Pahang dan Sungai Tembeling, seolah-olah menanggung kesengsaraan dengan linangan air mata rakyat di pesisir Sungai Tembeling dan Sungai Pahang setiap kali berdepan banjir.

Perasaan kecewa dan bosan rakyat apabila setiap kali jalan Paya Garok ditenggelami banjir akibat limpahan air Sungai Pahang menyebabkan beberapa hari terputus hubungan dua hala, iaitu ke bandar Jerantut dan kawasan perkampungan Tembeling Tengah, Ulu Tembe­ling dan Felda.

Begitu juga timbul rungutan dan sengsara setiap kali berlaku banjir menyebabkan Jalan Jerantut-Kuala Tembeling-Lipis terputus hubungan sehingga pengusaha dan petani berdepan kesukaran untuk membawa hasil kampung ke bandar terdekat serta terkandas perhubungan kenderaan ke daerah lain.

Rakyat di situ juga masih menunggu pembinaan kemudahan awam lain seperti sekolah berasrama penuh, Pusat Transformasi Bandar (UTC), Pusat Pemeriksaan Kenderaan (Puspakom), naik taraf kemudahan pelancongan di Taman Negara Kuala Tahan, Ulu Tembeling dan pembangunan bandar Jeran­tut sendiri.

Hakikatnya, Jerantut agak ter­kebelakang dari segi pembangunannya. Justeru, segala perancangan yang dibuat perlu dilaksanakan segera bagi memenuhi keselesaan dan kebajikan rakyat.

Penduduk khususnya gene­rasi hari ini tidak mahu lagi melihat Jerantut ketinggalan pembangunan seperti tahun 70-an dan 80-an lalu sedangkan jiran atau daerah berdekatan sudah ke hadapan dengan pelbagai kemudahan pendidikan, ekonomi dan sosial.

Kita sama-sama tunggu projek menaik taraf Jalan Paya Garok dan tempat lain menjelma dalam masa terdekat supaya rakyat tidak lagi ‘sengsara’ khususnya apabila tengkujuh tiba. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini