LIPIS: Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Demikian ungkapan yang sesuai dengan seorang wanita di Kampung Kuala Lanar di sini yang menjaga suaminya sejak diserang angin ahmar Mac lalu.
Nur Shafiqa Abdul Rahim, 33, berkata, sudah menjadi rutinnya menguruskan segala keperluan Mohd. Hamdan Che Mat, 43, yang kini sudah hilang upaya akibat penyakit berkenaan.
“Sebelum ini kami bergantung sepenuhnya kepada pendapatan suami sebagai peniaga roti canai di Bandar Lipis. Serangan angin ahmar menyebabkan perniagaan yang diusahakan bersama terpaksa ditutup.
“Selain menjaga suami, saya juga melakukan segala kerja rumah termasuk menguruskan lima orang anak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Menceritakan detik awal dugaan yang menimpa Mohd. Hamdan, Nur Shafiqa berkata, beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu, suaminya diserang angin ahmar buat kali pertama ketika bangun dari tidur hingga menyebabkan dia tidak boleh bercakap dan menelan.
“Suami dibawa ke Hospital Kuala Lipis dan doktor mengesahkan badan sebelah kanan diserang angin ahmar. Selepas melakukan fisioterapi dan mengurut suami dapat bangun dan bergerak perlahan-lahan.
“Namun dua bulan kemudian, suami diserang angin ahmar buat kali kedua dan hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat darah beku di bahagian kepala sebelah kiri. Pembedahan untuk membuang darah beku juga tidak dapat dilakukan kerana terlalu berisiko, jadi suami bergantung kepada ubat cairkan darah.
“Selain itu, suami perlu berulang alik ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan susulan bergantung kepada tahap kesihatannya,” katanya.
Nur Shafiqa berkata, walaupun suaminya mendapat bantuan bulanan RM500 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan zakat sebanyak RM600, jumlah berkenaan belum mencukupi.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Agrobank s2006111000270105 atas nama Nur Shafiqa atau menghubunginya di talian 010-9155515. –UTUSAN











