Warisan kembang sayap ke Semenanjung - Utusan Malaysia

Warisan kembang sayap ke Semenanjung

MOHD. AZIS JAMMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Wari­san Sabah (Warisan) dijangka melan­carkan sayapnya secara rasmi di Semenanjung selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri Mei depan.

Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, pelebaran sayap parti pimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal itu dipercayai dapat mengembangkan ideologi parti untuk menyatupadukan seluruh rak­yat negara ini.

Malah, katanya, Warisan cukup yakin parti itu dapat menawan hati pengundi setelah mempertimbangkan pene­rimaan positif ramai pihak bertambah terutama rakyat dari Semenanjung.

Bagaimanapun, kata Ahli Parlimen Sepanggar itu, masa, tarikh dan tempat belum ditetapkan tetapi pelancaran itu akan diadakan di sekitar ibu negara.

“Jadi, kalau adalah yang ber­anggapan bahawa Warisan hanya parti orang Sabah, mereka silap sebab negeri Sabah terma­suk dalam Malaysia. Jadi, parti ini adalah untuk semua orang.

“Kita kena hapuskan stigma dan pemikiran bahawa Wari­san hanya untuk orang Sabah. Macam mana parti UMNO dan PKR boleh bertapak di Sabah, dan DAP boleh berada di Sarawak, kenapa tidak untuk Warisan?

“Selain itu, sudah tentu hak-hak dan keistimewaan orang Melayu tetap akan dipertahankan kerana itu jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Cuma bagi Warisan, kita (semua parti) perlu melengkapi sesama kita,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Pada 18 April lalu, Mohd. Shafie memberi gambaran Warisan dan Muda akan membentuk gabungan baharu pada PRU-15 di samping mewujudkan satu landasan yang melahirkan pe­mimpin muda dalam arena politik tanah air.

Dalam perkembangan lain, mengulas berkenaan kerjasama Warisan dengan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, beliau berkata, kemungkinan besar Muda akan bertanding atas tiket Warisan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Namun, katanya, soal kerjasama dengan Muda termasuk cakap-cakap pembentukan gabungan besar bersama parti pembangkang lain, ia masih di peringkat perbincangan dan keputusan rasmi akan diumumkan oleh Mohd. Shafie.

Ini termasuklah soal agihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika Muda benar-benar bertanding atas tiket Warisan dalam PRU-15 akan datang.

“Kita belum putuskan lagi sebab akan ada pelbagai kemungkinan. Tunggu sehingga kita berada di garisan sebenar sebab Warisan masih lagi terbuka untuk bekerjasama dengan parti lain.

“Kita harap tidak akan wujud pertembungan seperti UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan satu pakatan pembangkang besar dapat dibentuk untuk melawan Perikatan Nasional (PN),” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×