TAMPIN: Pesawah di Skim Padi Londah, Gemas di sini memohon pihak berkaitan membantu bagi kerja-kerja baik pulih di lot sawah mereka yang terjejas dalam kejadian banjir baru-baru ini.
Peserta, Mohd. Noor Abu Bakar, 45, yang merupakan generasi kedua mengusahakan sawah berkenaan memohon bantuan disegerakan kerana mahu usahakan sawah awal bulan depan bersama peserta lain.
“Saya tidak mampu untuk membuatnya sendiri kerana tidak mempunyai peralatan selain pasir sungai yang banyak.
“Ada wakil Jabatan Pertanian yang datang melihat keadaan kami selepas banjir dan saya harap ada berita baik secepatnya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Skim itu membabitkan 56 peserta dengan keluasan 86 hektar sawah di mana tujuh peserta terjejas apabila ban sungai pecah sepanjang lebih 40 meter sehingga pasir sungai masuk ke dalam petak sawah.
Peserta, Md. Sani Ab Malek, 54, berkata, banjir baru-baru ini memerlukan kos membaik pulih sawah dan menyuburkan tanah yang dianggarkan mencecah RM4,000.
Sementara itu, Ketua Kelompok Skim Padi Kampung Londah, Norazmi Sham Abdullah, berkata, pihaknya bernasib baik kerana sempat membawa hasil padi sebanyak 300 metrik tan pada musim lalu yang dituai sebelum musim tengkujuh.
Menurutnya, itu merupakan antara strategi pesawah bagi memastikan tidak mengalami kerugian teruk setelah mempelajari trend musim tengkujuh yang akan berlaku seawal November.
“Bagaimanapun, banjir kali ini menyebabkan kerosakan infrastruktur apabila benteng sungai pecah serta kemungkinan penanaman padi akan datang berhadapan dengan masalah.
“Untuk permulaan musim ini kami terpaksa ambil risiko dengan harapan dapat peruntukan kerajaan untuk baik pulih segera ban sungai yang pecah. Jika tidak dilakukan, kemungkinan sawah penduduk akan berhadapan risiko ditenggelami air lagi,” katanya. – UTUSAN










