TULISAN Muhammad Afifi Abdul Razak yang menyarankan rombakan struktur Perikatan Nasional (PN) dan mengkritik Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN di dalam akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini mendapat perhatian beberapa pihak.
Perlu diingat, Muhyiddin memainkan peranan kritikal dalam mewujudkan PN, terutamanya pada saat-saat genting selepas Langkah Sheraton pada tahun 2020. Beliau juga selaku Perdana Menteri membawa kestabilan politik ketika negara menghadapi krisis pandemik Covid-19.
Langkah strategik beliau menjadikan Pas sebahagian daripada kerajaan pusat. Tanpa Muhyiddin, Pas mungkin tidak akan merasa peluang menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat antara 2020 hingga 2022. Sebagai Pengerusi PN, beliau memastikan Pas diberikan peranan penting dalam pentadbiran kerajaan, termasuk jawatan menteri dan kedudukan strategik lain.
Kepimpinan Muhyiddin dan Bersatu juga meningkatkan relevansi Pas dengan menjadikan PN lebih menarik kepada golongan moderat dan bukan Melayu, sesuatu yang Pas secara sendirian sukar untuk capai. Keseimbangan yang dibawa oleh Bersatu mengurangkan stigma ekstremisme yang sering dikaitkan dengan Pas.
Tuduhan bahawa Muhyiddin memusatkan kuasa dalam PN adalah tidak berasas. Sebagai pemimpin gabungan, adalah tanggungjawab beliau untuk memastikan organisasi berfungsi secara efisien. Pelantikan jawatan seperti Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan PN adalah prerogatif pengerusi, seperti yang diamalkan dalam gabungan lain seperti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Afifi terkeliru kerana pelantikan dalam MT PN tersebut bukan pelantikan menyeluruh tetapi hanya bertujuan mengisi jawatan-jawatan yang diperuntukkan kepada Bersatu berdasarkan keputusan pemilihan Bersatu. Jawatan-jawatan tersebut hanyalah Pengerusi, Timbalan Pengerusi,
Setiausaha Agung, Ketua Wanita, Ketua Penerangan, dan dua ahli Majlis Tertinggi (MT) PN.
Soal siapa yang dilantik oleh Presiden Bersatu untuk mengisi jawatan-jawatan yang disandang oleh Bersatu di dalam PN sewajarnya diserahkan kepada Presiden Bersatu kerana beliau lebih mengetahui tugas dan peranan yang telah diberikan kepada pemimpin-pemimpin tertinggi Bersatu.
Sebagai contoh, pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung PN adalah berdasarkan merit dan pengalaman beliau dalam politik nasional. Tiada bukti bahawa pelantikan ini menjejaskan kepentingan Pas. Jawatan Ketua Penerangan PN sebelum ini juga dipegang oleh Azmin, dan Pas tidak pernah membantah. Justeru, bantahan sekarang dilihat lebih kepada isu individu, bukan prinsip.
Tidak ada masalah untuk Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, meletakkan jawatan sebagai Bendahari PN, tetapi beliau sepatutnya lebih berhemah dengan memberi sebab sebenar mengapa beliau berbuat demikian untuk mengelakkan spekulasi liar. Langkah meletakkan jawatan tanpa alasan yang jelas hanya akan mencetuskan spekulasi negatif dan menjejaskan persepsi terhadap perpaduan dalam PN.
Cubaan memperkecilkan peranan Bersatu dalam PN adalah satu kesilapan strategik. Bersatu adalah jambatan yang menghubungkan PN dengan golongan moderat dan bukan Melayu. Ini adalah fakta yang tidak boleh dinafikan. Bersatu membantu mengimbangi imej Pas yang sering dilihat terlalu konservatif oleh sesetengah pengundi. Tanpa Bersatu, PN mungkin akan kehilangan daya tarikan kepada segmen pengundi yang penting ini.
Pas perlu mengingati jasa Muhyiddin yang mengangkat Pas ke pentas nasional. Ketika Muhyiddin hilang dari puncak kuasa dan berada dalam kesusahan menghadapi dakwaan di mahkamah, Pas seharusnya menunjukkan setiakawan dengan membela beliau. Semangat setiakawan ini penting untuk mengekalkan perpaduan dan kekuatan dalam PN. Tindakan yang melemahkan Muhyiddin hanya akan merugikan PN secara keseluruhan.
Pandangan bahawa PN perlu menubuhkan Majlis Penatua atau jawatan Pengerusi Bersama tidak relevan. Struktur sedia ada telah terbukti berjaya membawa PN ke tahap ini. Sebagai contoh, BN dan PH menggunakan perlembagaan serupa dan berjaya menjadi kerajaan. Oleh itu, cadangan untuk meminda perlembagaan PN hanya akan mengganggu kestabilan organisasi.
Kritikan terhadap keputusan Muhyiddin harus dilakukan secara bersemuka, bukan melalui media atau tindakan yang menimbulkan ketegangan dalaman. Sebagai contoh, kritikan terhadap pelantikan Azmin perlu dilihat secara rasional. Pas sendiri telah membuat pelantikan jawatan penting dalam sayap Pemuda PN tanpa campur tangan Bersatu. Justeru, mengapa perkara ini menjadi isu apabila melibatkan Bersatu?
Muhyiddin telah membuktikan kepimpinannya yang teguh dan konsisten dalam menghadapi cabaran politik. Jasanya kepada Pas dan PN tidak dapat dinafikan. Sebarang usaha untuk mengetepikan beliau bukan sahaja tidak gentlemen tetapi juga berisiko melemahkan PN.
Kepimpinan Muhyiddin adalah kunci kepada kestabilan PN, dan Bersatu adalah komponen penting yang memperkukuh daya tarikan gabungan kepada semua lapisan masyarakat.
Kepada semua pemimpin Pas dan Bersatu, keutuhan PN bergantung kepada perpaduan, kebijaksanaan dan semangat setiakawan antara parti komponen. Sebarang isu atau perselisihan pendapat yang timbul haruslah diselesaikan secara dalaman melalui musyawarah, bukannya disuarakan secara terbuka melalui media.
Demi kebaikan PN, semua pemimpin parti komponen harus mengutamakan saluran rasmi, Semua isu harus disampaikan melalui mesyuarat rasmi PN seperti MT, jawatankuasa khas atau perbincangan peringkat tertinggi parti. Pemimpin kanan, terutama yang tidak terlibat dalam MT PN, perlu berhati-hati dalam menyuarakan pandangan yang boleh memberi kesan kepada perpaduan gabungan.
Perpecahan parti-parti politik Melayu tidak menguntungkan orang-orang Melayu secara keseluruhan dan hanya menguntungkan pihak anti-Melayu. Elakkan perpecahan, runtunkan perpaduan. Hanya perpaduan antara parti-parti politik Melayu akan menjadikan orang-orang Melayu lebih kuat dan lebih dihormati. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd Noor Yazid adalah Felo Kanan di Borneo Institute for Indigenous Studies (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS).










