PETALING JAYA: Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) menerima baik penyelarasan pencen diumumkan kerajaan, tetapi menegaskan isu pokok berkaitan veteran yang bersara sebelum tahun 2013 masih belum diselesaikan.
Justeru, Presiden PVATM, Datuk Sharuddin Omar menggesa kerajaan memberikan keputusan muktamad sama ada isu pelarasan pencen veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum 2013 akan diselesaikan atau tidak, bagi memastikan keadilan untuk semua.
Katanya, pencen mereka hanya pada kadar 50 peratus gaji akhir, berbanding 60 peratus yang diterima oleh pesara dengan tempoh perkhidmatan lebih daripada 25 tahun tiga bulan, menjadikan jurang perbezaan semakin besar
“Kalau kerajaan nak bagi, umumkan. Kalau tidak mahu, jelaskan segera. Kalau tidak mahu, apa yang kami dapat simpulkan adalah kerajaan tidak berlaku adil.
“Sebab veteran sebelum ini terima pencen berdasarkan kadar gaji yang kecil lebih-lebih lagi tempoh perkhidmatan kami singkat berbanding pesara kerajaan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, media melaporkan kerajaan dijangka memuktamadkan kadar pencen bagi golongan pesara dalam masa terdekat dan perkara tersebut sedang diperhalusi daripada pelbagai aspek dan akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri.
Mengulas lanjut, Sharuddin berkata, kenaikan pangkat dalam tentera pada masa lalu juga sangat terhad, menyebabkan ramai veteran berpencen pada jawatan rendah seperti koperal dan prebet dengan jumlah pencen yang kecil.
Katanya, pencen kecederaan terlalu kecil, khususnya untuk anggota yang cedera semasa bertugas, kerana pembayaran hanya berdasarkan peratus kecederaan dari gaji pokok yang rendah.
“Kebanyakan veteran ini terlibat dalam pertempuran dan perjuangan mempertahankan negara, seperti era konfrontasi dan darurat, namun pengorbanan mereka tidak diiktiraf sepenuhnya.
“Hargailah pengorbanan veteran dengan satu pengumuman rasmi yang jelas, termasuk formula pelarasan yang adil untuk mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Abdul Rahman Mohd. Nordin berkata, CUEPACS menyokong penuh pelaksanaan penyelarasan kadar pencen kerana hampir 20 tahun ia tidak disemak.
Katanya, penyelarasan ini penting untuk membantu kos sara hidup yang semakin meningkat, memberikan kelegaan kepada pesara selain meningkatkan kesejahteraan mereka. – UTUSAN











