Subsidi yuran elak kewujudan taska haram

Subsidi yuran elak kewujudan taska haram

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan diminta mewujudkan subsidi yuran taman asuhan kanak-kanak (taska) kepada ibu ba­pa bagi mengelakkan pe­ningkatan jumlah taska ha­ram ekoran kenaikan yuran di taska berdaftar yang semakin membebankan.

Langkah ini bukan sahaja meringankan beban kewangan ibu bapa tetapi juga bagi memastikan taska berdaftar dapat terus beroperasi dengan mematuhi piawaian keselamatan.

Pengerusi Persatuan TASKA Perak (PTP), Aziah Mohd. Shah Baki berkata, kenaikan yuran taska antara 15 hingga 25 peratus dijangka memberi kesan besar kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah, terutama yang mempunyai ramai anak kecil.

Kenaikan yuran bertujuan menampung kos operasi supaya taska dapat mengekalkan ciri-ciri keselamatan seperti ditetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kenaikan yuran bergantung kepada kos operasi setiap taska dan ada pengurusan yang menaikkan yuran sehingga 25 peratus kerana kos operasi tinggi, seperti sewa premis dan kos gaji pekerja. Namun, taska yang tidak berani menaikkan yuran terlalu tinggi akan menetapkan kenaikan sekitar 15 peratus.

“Taska haram mengenakan yuran lebih rendah, tetapi mereka tidak mematuhi garis panduan keselamatan yang ditetapkan. Ini membuka risiko terhadap keselamatan kanak-kanak dan boleh menyebabkan kes penderaan serta kecuaian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Akhbar ini sebelum ini me­laporkan, yuran taska dijangka meningkat bagi menampung kos operasi tambahan termasuk kenaikan gaji minimum, pembiayaan latihan dan kebajikan pekerja.

Presiden Persatuan Penga­suh Berdaftar Malaysia (PPBM), Norsheila Abdullah berkata, peningkatan itu seiring pembayaran gaji pengasuh termasuk dua caruman bulanan selain latihan kemahiran berterusan dan kebajikan harian.

Mengulas lanjut, Aziah ber­kata, pengusaha taska turut berdepan cabaran besar apabila kos operasi meningkat, termasuk kenaikan gaji minimum dan pembiayaan latihan wajib seperti kursus resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan keselamatan kanak-kanak.

Menurutnya, ramai pe­ngu­saha taska memilih untuk tidak memperbaharui lesen ke­rana tidak mampu menampung kos yang semakin meningkat dan menyebabkan taska yang sebelum ini berdaftar akhirnya beroperasi secara tidak sah tanpa pengetahuan ibu bapa.

“Sekitar 80 peratus daripada yuran taska digunakan untuk membayar gaji pekerja selain menyediakan kemudahan se­perti CCTV, peralatan kesela­m­atan dan makanan berkualiti untuk kanak-kanak dan semua itu memerlukan kos.

“Lesen JKM pula perlu diperbaharui setiap lima tahun dengan kos RM250, manakala lesen PBT diperbaharui setiap tahun. Kos tambahan lain se­perti kursus dan latihan turut membebankan pengusaha taska,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×