NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyuarakan kebimbangannya berhubung peningkatan pertempuran di Myanmar, susulan pertembungan antara pasukan keselamatan dengan kumpulan bersenjata etnik di negara itu.
Jurucakap beliau, Stephane Dujarric dalam satu kenyataan memaklumkan pertempuran di negeri Rakhine, barat Myanmar, mengakibatkan penderitaan dan perpindahan besar-besaran dalam kalangan penduduk awam.
“Serangan udara secara semberono mencetuskan lebih banyak kematian dalam kalangan orang awam di beberapa kawasan di negara itu,” katanya.
Pertempuran di Rakhine semakin memuncak sejak Tentera Arakan melancarkan serangan terhadap pasukan keselamatan pada November tahun lalu, sekali gus menamatkan gencatan senjata yang sebelum ini bertahan sejak rampasan kuasa tentera pada 2021.
Minggu ini, Tentera Arakan (AA) mendakwa berjaya menguasai sepenuhnya kawasan strategik di sempadan Bangladesh, menambahkan tekanan terhadap junta tentera yang kini turut berhadapan dengan tentangan sengit di bahagian lain negara itu.
Video di media sosial menunjukkan kumpulan berkenaan mengepung kawasan itu dengan ramai pejuang berkaki ayam menembak pelbagai jenis senjata ke pangkalan di Maungdaw.
“Bagi ketua rampasan kuasa, Jeneral Min Aung Hlaing ini merupakan satu lagi kekalahan yang memalukan selepas setahun kemunduran tentera.
“Buat pertama kali rejimnya kehilangan kawalan ke atas seluruh sempadan seluas 270 kilometer yang memisahkan Myanmar dari Bangladesh. Kini kawasan itu sepenuhnya di bawah kawalan AA,” jelas video itu.
Guterres turut menyeru semua pihak yang terlibat untuk menghentikan keganasan serta merta dan mengelakkan tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan antara komuniti.–AFP










