BARU-BARU ini Pantai Timur Semenanjung Malaysia, khasnya di Kelantan dan Terengganu dilanda banjir besar dan tujuh negeri lain akibat Monsun Timur Laut (MTL). Jumlah mangsa banjir sejak 5 November lalu, sebanyak 235,706 orang daripada 68,868 keluarga adalah yang tertinggi selepas banjir besar melanda negara semasa MTL 2014/2015.
Ekoran itu, ada yang menuding jari kepada Kerajaan Madani kerana dikatakan melengah-lengahkan pembinaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) sehingga banjir besar berlaku. Ada dua perkara yang perlu ditegaskan di sini. Pertama, rekod menunjukkan bahawa Kerajaan Madani komited melaksanakan dan tidak melengah-lengahkan pembinaan projek RTB.
Dalam Ucapan Belanjawan Madani Ketiga Tahun 2025 pada 18 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, sekarang bukan masanya melaksanakan projek mega. Sebaliknya, pembangunan negara akan menumpukan kepada projek-projek berkepentingan rakyat serta kemudahan yang menyokong kawasan perindustrian mengikut keutamaan negeri.
Perdana menteri juga berkata, Kerajaan Madani berjaya menyiapkan lapan projek RTB bernilai RM540 juta. Seterusnya, 12 projek RTB dengan kos RM3 bilion dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST) dan berjalan mengikut jadual antaranya melibatkan RTB Sungai Triang, Bera, di Pahang; RTB Sungai Tepoh dan Banggol Air Lilih, Kuala Nerus di Terengganu dan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan Fasa 2 di Kota Bharu, Kelantan.
Kedua, sepertimana kenyataan Pengerusi Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo, biarpun kerajaan sudah membelanjakan berbilion ringgit setahun untuk projek RTB, namun itu bukan jaminan negara akan bebas daripada ancaman banjir kerana ia adalah satu fenomena alam yang terjadi akibat hujan lebat melampau. Apa yang boleh dibuat ialah mengurangkan impak dan risikonya sahaja.
Punca banjir besar berlaku kerana kadar taburan hujan adalah jauh daripada jangkaan. Kadar taburan hujan di Kelantan dan Terengganu dalam tempoh lima hari, dari 26 hingga 30 November lalu, contohnya melebihi kadar hujan yang lazimnya diterima selama enam bulan.
Di Kelantan, dalam tempoh berkenaan, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), catatan jumlah hujan adalah sebanyak 1,442 milimeter (mm) manakala catatan jumlah hujan di Besut, Terengganu, dalam tempoh sama adalah sebanyak 1,761 mm.
Negara juga mempunyai Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (DRR) yang diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Kesiapsiagaan Kerajaan Madani dalam menangani isu banjir sudah dilakukan sekitar tiga bulan lebih awal sebelum bencana melanda menyebabkan gerak kerja menangani bencana banjir yang berlaku baru-baru ini dilihat sangat memuaskan tanpa adanya masalah besar.
Negara juga mempunyai Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) yang canggih, dengan sistem model ramalan banjir itu menggunakan pendekatan hidrodinamik dan simulasi banjir dihasilkan dengan gabungan pelbagai input, termasuk data hidrologi dari stesen telemetri PRAB dan data ramalan hujan dari MET Malaysia yang menggunakan model ramalan cuaca berangka, teknologi satelit dan radar, sekali gus memberikan jangkaan yang lebih tepat.
Ini diakui antara lainnya oleh Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan dan Institut Sains Samudera dan Bumi, Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Azizan Abu Samah, yang berkata, banjir kali ini adalah terkawal berbanding 2014 kerana agensi pengurusan bencana persekutuan dan negeri dilihat sudah bersedia untuk menghadapi bencana itu. Contohnya, peruntukan hampir RM600 juta disediakan Kerajaan Madani untuk Nadma sebagai persiapan mendepani musibah banjir.
Di peringkat peribadi, sebaik sahaja banjir kelihatan mula meruncing, perdana menteri terus menangguhkan program beliau di Tasik Kenyir kerana kepedulian terhadap kebajikan rakyat yang terkesan dengan bencana ini menjadi keutamaan dan perlu diuruskan sebaiknya.
Sementara timbalan perdana menteri turun membantu di Kelantan, perdana menteri pula ke Terengganu bagi melihat sendiri musibah banjir yang melanda. Di sana, Anwar turun padang menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Telaga Papan dan kemudiannya ke PPS Sekolah Kebangsaan Mangkok, di Setiu.
Anwar juga mengumumkan peruntukan tambahan segera untuk disalurkan kepada Kelantan dan Terengganu, masing-masing RM25 juta. Beliau juga memaklumkan bantuan segera untuk membaiki kerosakan akibat banjir ini mencecah hampir RM1 bilion. Keutamaan akan diberikan untuk membaiki sekolah, hospital dan jalan raya yang rosak.
Lebih dari itu, Anwar juga segera memobilisasikan Skuad Ihsan Madani yang terdiri daripada sukarelawan penjawat awam daripada pelbagai kementerian dan agensi bagi membantu fasa pemulihan pasca bencana. Skuad itu diketuai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, diselaraskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerjasama pihak Jabatan Perdana Menteri (JPM), Nadma dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
SEMANGAT KEBERSAMAAN
Seterusnya, perdana menteri turut membuat seruan terbuka kepada sektor swasta untuk menyemarakkan semangat kebersamaan dalam misi bantuan banjir. Hasil seruan itu, Majlis Pengumpulan Dana Ihsan Madani di Kompleks Seri Perdana pada 4 Disember menyaksikan sumbangan sebanyak RM35.8 juta diterima daripada 23 syarikat swasta dan badan korporat, dengan YTL Corporation Bhd. dan Yayasan Albukhary, masing-masing menyerahkan RM5 juta untuk disalurkan kepada mangsa banjir.
Ringkasnya, perdana menteri menunjukkan keprihatinan dan memberikan komitmen penuh dalam menangani isu banjir besar baru-baru ini tanpa mempolitikkannya. Beliau juga tidak lokek memberi pujian dan penghargaan kepada kesemua pegawai dan anggota dari pelbagai agensi kerajaan, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan dan semua pihak di atas kebersamaan sewaktu menghadapi bencana banjir ini.-UTUSAN
PROFESOR. Madya Dr. Mashitah Mohd. Udin ialah Pengarah Program Peningkatan Eksekutif Ghazali Shafie (GSEEP) di Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG) , Universiti Utara Malaysia (UUM).










