Bukan demi orang lain tetapi untuk pekerja gig kita

Bukan demi orang lain tetapi untuk pekerja gig kita

KEWUJUDAN sektor ekonomi gig boleh dan telah memenuhi kelompongan pasaran kerja dengan menawarkan pekerjaan kepada masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CADANGAN untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dizahirkan seawal Jun 2023. Komitmen ini disokong ketika berlangsung Majlis Penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 pada Mac lalu, yang mana ketika itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Gig Malaysia.

Inisiatif ini semestinya disambut baik oleh pekerja ekonomi gig kerana kerangka perundangan sedia ada masih belum jelas dalam menjaga dan melindungi pekerja ekonomi gig di Malaysia.

Ketiadaan undang-undang menerusi perundangan yang sedia ada seperti Akta Kerja 1955 (Akta 265) menjadikan golongan ini tidak dilindungi dan bergerak berdasarkan dasar atau polisi yang ditentukan oleh persekitaran ekonomi ataupun secara kelaziman. Dalam kedudukan kini, belum ada apa-apa yang boleh menentukan sekurang-kurangnya ‘amalan baik’ untuk dijadikan garis panduan kepada syarikat yang menawarkan ekonomi gig ini.

Seterusnya pada Julai, Timbalan Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menyatakan di Parlimen bahawa skop tugas Suruhanjaya Pekerja Gig diperluas dan dijenamakan semula sebagai SEGiM yang akan diperngerusikan oleh Ahmad Zahid.

Abdul Rahman menyatakan suruhanjaya ini akan membantu dalam menangani isu dan kelompongan sektor ekonomi gig yang merangkumi pangkalan data penggiat ekonomi gig dan data platform gig, keselamatan sosial dan kadar upah.

Empat perkara penting yang diberikan perhatian KESUMA dalam penggubalan perundangan berkenaan dengan undang-undang gig adalah definisi pekerja gig, upah, mekanisme kilanan atau aduan dan perlindungan sosial.

Apapun, Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang sepatutnya dibentangkan pada Disember ini ditangguh pembentangannya meskipun Memorandum Jemaah Menteri mengenai cadangan menggubal RUU ini telah siap disediakan. Tidak dapat dinafikan untuk mewujudkan keadaan industri yang harmoni, semua pemegang taruh yang merangkumi pekerja dan platform ekonomi gig ini akan terkesan dengan sebarang kerangka perundangan yang ada. Namun, dalam mengambil kira perspektif platform ekonomi gig, kebajikan penggiat ekonomi gig atau pekerja tidak boleh diketepikan.

Kebajikan dan hak penggiat ekonomi gig ini semestinya wajar diberikan perlindungan oleh platform ekonomi gig ini sebagaimana Akta 265 melindungi pekerja. Diakui fenomena pekerja dalam sektor ekonomi gig boleh dianggap sebagai kontraktor bebas akan tetapi kerangka perundangan watan boleh diwujudkan untuk melindungi pekerja atau penggiat ekonomi gig sebagai suatu model baharu di seluruh dunia.

Secara idealnya kewujudan sektor ekonomi gig boleh dan telah memenuhi kelompongan pasaran kerja dengan menawarkan pekerjaan kepada masyarakat. Meskipun begitu, penggiat ekonomi gig ini bukanlah golongan kedua dan seharusnya mempunyai perlindungan serta hak yang sama dengan pekerja-pekerja.

Model perlindungan pekerja gig ini boleh dirujuk dengan Suruhanjaya Kerja Adil (FWC) di Australia yang telah diberikan kuasa untuk menentukan tahap minimum ‘pekerja seperti pekerja’ dalam ekonomi gig. Ia merupakan istilah yang merujuk kepada sekiranya seseorang itu melaksanakan kontrak perkhidmatan tidak akan dikira sebagai pekerja sekiranya memenuhi sekurang-kurangnya dua syarat iaitu mereka mempunyai kuasa tawar menawar yang rendah, dibayar gaji di bawah kadar pekerja melaksanakan kerja yang serupa, mempunyai kawalan otoriti yang rendah terhadap pelaksanaan kerja dan apa-apa syarat yang ditetapkan dalam peraturan.

Melalui kerangka perundangan ini, mana-mana orang atau organisasi yang mewakili pekerja atau perniagaan yang mendapatkan perkhidmatan golongan ini boleh memohon kepada FWC arahan tahap minimum atau FWC boleh membuat apa-apa arahan berkenaan dengannya.

SINGAPURA LEBIH PRIHATIN
Negara jiran, Singapura juga meluluskan Platform Akta Pekerja 2024 yang bertujuan untuk memberikan perlindungan kepada pekerja dan pada masa yang sama mengekalkan keadaan ekonomi yang berdaya maju platform kerja.

Antara asas perundangan ini adalah perlindungan keselamatan kewangan dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pusat (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWSP di Malaysia) kepada pekerja dan perlindungan kecederaan pekerja di bawah Akta Pampasan Kecederaan Kerja.

Pengendali platform perlu menyediakan perlindungan ini kepada pekerja-pekerja di platform masing-masing. Akta ini dilaporkan akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2025 selepas diluluskan oleh Parlimen Singapura pada 10 September 2024.

Tidak cukup dengan itu, kesatuan pekerja boleh diwujudkan untuk memasuki perjanjian bersama dengan pengendali platform. Perkembangan perundangan di Singapura ini menunjukkan keseriusan kerajaan dalam mewujudkan ekosistem ekonomi gig yang harmoni.

Tuntasnya, perundangan yang melindungi pekerja gig ini mesti segera diwujudkan. Kelompongan dalam perundangan akan mewujudkan ekosistem perburuhan yang tidak harmoni dan akan menindas golongan pekerja.

2024 hampir melabuhkan tirainya dan diharapkan pada tahun hadapan satu kerangka perundangan yang jelas berkenaan pekerja gig dapat dibentang dan diluluskan di Parlimen. Bukan untuk orang lain tetapi untuk pekerja gig ini.-UTUSAN

PENULIS merupakan pengamal undang-undang, Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) dan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×