PASIR SALAK: Seorang penternak ikan dan udang dalam kolam kerugian sehingga RM400,000 apabila kolamnya yang terletak di tepi Sungai Perak di Kampung Gajah di sini, pecah akibat fenomena air pasang besar baru-baru ini.
Ahmad Fazil Zamanhuri, 39, yang menjadikan kolam ternakannya itu sebagai kolam memancing berkata, kesemua tiga kolam diusahakannya dimasuki limpahan air Sungai Perak setelah ban penahan dibina di kolam tersebut pecah.
Menurutnya, satu kolam ternakan udang galah dan dua kolam pelbagai jenis ikan termasuk patin, toman, rohu, tengalan, tilapia dan baung kesemuanya dimasuki air Sungai Perak.
“Kejadian ban kolam pancing pecah berlaku semasa fenomena pasang besar gelombang pertama dan kedua baru-baru ini menyebabkan ikan dan udang dalam kolam terlepas ke Sungai Perak.
“Saya rugi hampir RM400,000 dan kecewa kerana baharu sahaja memasukkan 100,000 benih udang galah ke dalam kolam namun semuanya dihanyutkan arus sungai yang melimpah hingga ke dalam kolam,” katanya.
Kerugian ditanggung mungkin lebih besar kerana terpaksa menanggung kos baik pulih.
Namun, biarpun berdepan kerugian, dia tetap meneruskan ternakan ikan dan udang kolam di lokasi sama.
“Fokus saya kini ialah untuk membaiki kolam dan sistem ban atau penahan air daripada memasuki kawasan kolam jika berlaku air pasang besar atau kenaikan paras air Sungai Perak.
“Saya terpaksa mengeluarkan kos tinggi untuk memulakan ternakan baharu dan berharap pihak berkenaan dapat membantu saya membeli benih udang atau ikan baharu,” katanya.
Pada masa kini, kebimbangannya belum reda kerana keadaan paras air Sungai Perak masih tinggi semasa musim tengkujuh ketika ini. – UTUSAN










