ISTILAH ‘kerajaan beta’ yang acap kali diulang Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam banyak titah-titahnya mempunyai maksud tersirat dan makna yang mendalam.
Ia bukanlah ‘keselesaan’ kepada mana-mana ahli politik ataupun pegawai kerajaan dan ia bukan lesen untuk mana-mana individu ‘mendabik dada’ dengan anggapan ‘payung kuning’ berada bersama mereka.
Sebaliknya, istilah tersebut kerap disulami dengan teguran dan kritikan kepada orang yang berkuasa. Malah, 2024 adalah tahun penuh dengan teguran Sultan Selangor yang ditujukan kepada menteri besar hinggalah rakyat.
Teguran demi teguran dilontarkan kerana tidak mahu mereka yang memegang kuasa alpa dengan tanggungjawab, akhirnya menggugat kesejahteraan rakyat.
Antara tegurannya adalah isu banjir yang disampaikan dalam titah baginda pada Khamis lalu. Hal ini sudah pun diingatkan ketika perisytiharan Bandaraya Diraja Klang, pada 5 Februari 2024.
Ketika itu, Sultan Sharafuddin berkenan menyampaikan titah menyatakan, banjir kerap berlaku di Klang. Seiring dengan titah itu, pelbagai liputan media termasuk dari Utusan Malaysia melaporkan kekerapan banjir dan luahan penduduk yang berdepan dengan situasi banjir.
SOSIAL
Dua minggu lalu, kejadian banjir melanda di Meru berikutan hujan seharian dan kadang kala lebat menyebabkan jalan-jalan utama ditenggelami air. Lebih 400 penduduk terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Hal itu menyebabkan baginda menyinggung belanjawan bernilai jutaan ringgit bagi projek tebatan banjir, namun sehingga kini tidak nampak hasilnya.
“Banjir kerap berlaku terutama pada musim tengkujuh apabila berlaku limpahan air dari hulu Sungai Klang dan air laut pasang di hilir menyebabkan ia terperangkap dan menenggelamkan kawasan rendah sekitarnya,” titah baginda pada 5 Februari lalu ketika Istiadat Perisytiharan Bandaraya Diraja Klang dekat Wyndham Acmar Hotel, Klang.
“Beta difahamkan berjuta-juta ringgit peruntukan dikhaskan bagi mengatasi masalah banjir untuk jangka pendek dan panjang, namun seolah-olah tiada hasilnya langsung,” titah baginda 5 Disember lalu pada Majlis Perasmian Masjid Jamek Cina Muslim Klang.
Justeru, Sultan Selangor menggesa kerajaan negeri supaya menubuhkan pelan tindakan bagi mengatasi banjir di negeri ini dan baginda mahu melihat hasilnya dalam masa terdekat.
EKONOMI
Baginda mencuri tumpuan ekoran Selangor menjadi negeri pilihan pelabur sejak 2021. Saban hari jumlah pelaburan meningkat dan keseluruhan pelaburan dalam pelbagai sektor bernilai lebih RM100 bilion.
Jika masalah bencana tidak diatasi, ia secara tidak langsung menyebabkan risiko penurunan pelaburan. Begitu juga kebersihan apabila negeri ini bakal menganjur kempen Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025.
Namun, kemasukan pelancong melalui salah satu pintu masuk utama negara di Pelabuhan Klang terpaksa menyaksikan keadaan sebenar di bandar Klang yang ditegur baginda sebagai kotor dan memalukan.
“Beta banyak menerima rungutan daripada orang ramai terutama para pelancong dalam dan luar negara termasuk pelancong kapal ‘cruise’ yang masuk melalui pintu utama Pelabuhan Klang dan menyatakan pemandangan di Bandaraya Diraja Klang begitu tercemar dan amat menjijikkan,” titah baginda 5 Disember lalu pada Majlis Perasmian Masjid Jamek Cina Muslim Klang.
Baginda juga pernah menggesa supaya kerajaan negeri membuat takrifan semula terhadap unsur nadir bumi (REE) dan mahu ia dijadikan sebagai antara penyumbang utama pendapatan negeri.
Malah, Sultan Sharafuddin menitahkan Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) membuat takrifan semula terhadap bahan batuan serta mineral yang berpotensi memberikan kadar royalti lebih tinggi.
AGAMA
Meskipun Sultan Selangor tidak lagi menjadi Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), namun baginda tetap menjalankan tugas sebagai ketua agama di negeri ini.
Banyak isu agama dibangkitkan selain ajaran sesat dan penyelewengan akidah oleh Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) dan pengeluaran fatwa berkenaan pengharamannya.
Baginda menegur sikap sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dan tidak memiliki kepakaran, namun dengan sewenang-wenangnya melontarkan kritikan dan tohmahan.
“Beta amat dukacita apabila mendapati ada umat Islam yang tidak mempunyai kepakaran berkaitan hukum syarak mempersoal dan mempertikaikan fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor,” titah baginda 25 November lalu pada Majlis Perasmian Program Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah ‘Ilmu Tasawwuf Merungkai Masalah Ummah’.
PERPADUAN
Titah Sultan Selangor pada 5 Oktober lalu memberi makna cukup tersirat kerana lahir dari hati baginda yang melihat rakyat menyaksikan pertembungan dalam kalangan raja-raja Melayu terhadap isu yang sepatutnya menyatukan rakyat.
Baginda pernah berpesan, bola sepak sepatutnya menjadi sukan yang menyatukan dan ia perlu dikekalkan sebagai satu wadah keharmonian negara.
Pertembungan dalam isu bola sepak berlarutan sejak penyerang Selangor FC, Faisal Halim atau Mickey disimbah asid. Sejak itu, Selangor FC diperlekeh, isu keselamatan pemain tidak dipandang berat sehingga baginda sendiri bersetuju skuad The Red Giants menarik diri daripada menentang Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan pembukaan Piala Sumbangsih.
Ia tidak berhenti di situ, apabila baginda sekali lagi memainkan peranan sebagai Penaung Selangor FC terpaksa berdepan dengan usikan terhadap hubungan perlawanan bola sepak antara Selangor dengan Singapura.
“Piala tersebut tidak sewajarnya dipertikaikan kerana ia bertujuan meraikan semangat persahabatan antara kedua-dua pasukan. Piala Sultan Selangor dinanti peminat untuk menyaksikan pertembungan antara negeri ini dengan Singapura yang merupakan musuh tradisi dan digelar sebagai Malayan El Clàsico,” kenyataan Pejabat Sultan Selangor pada 20 Ogos lalu.
TELADAN
Sultan Sharafuddin kerap kali mengingatkan golongan politik supaya berhenti melakukan adu domba serta perseteruan yang boleh menyebabkan rakyat berpecah akibat sentimen politik.
Malah, baginda turut melarang masjid dijadikan tempat berpolitik.
Sebaliknya, Sultan Sharafuddin mahu melihat rakyat terus pandang ke hadapan dengan baginda sendiri menunjukkan teladan sebagai pemimpin yang berjiwa besar.
Baginda berkenan menerima menghadap Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd. Amin dan berkenan menerima permohonan maaf daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
“Beta tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain dan kita hendaklah sentiasa memaafkan sekiranya yang memohon maaf itu ikhlas,” titah baginda menerusi warkah perkenan permohonan ampun Sultan Sharafuddin pada 26 September lalu.
Daulat Tuanku!-UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Selangor.











