Orang Cina perlu perlihatkan pemikiran, jati diri watan

Orang Cina perlu perlihatkan pemikiran, jati diri watan

PAPAN tanda perlu unggul sifatnya iaitu dengan unsur Melayu-Islam diiringi bahasa lain. – GAMBAR MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMPAKNYA polemik tentang papan tanda yang wajib mengandungi bahasa Melayu sudah tamat. Namun kenyataan terbaharu daripada etnik Cina tidak sesekali memuktamadkannya.

Sehubungan ini, mereka masih menaruh harapan agar bahasa Mandarin masih boleh wujud bersendirian seperti pada papan tanda yang diturunkan itu.

Dalam hal ini, walaupun semua pihak tertakluk kepada akta yang sama, iaitu Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang di dalam ikut terkandung Undang-Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982, etnik Cina mencadangkan kemungkinan keperluan kelonggaran dalam memberikan kelulusan.

Sehubungan ini, langkah perlu diambil untuk melihat sentimen, tajuk dan jenama besar pada sesuatu papan tanda itu.

Meskipun sudah terang lagi bersuluh, etnik Cina masih tidak mahu mematuhinya sepenuhnya.

Ini bukan sahaja melanggar resam di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Ia juga mahu mencabar perundangan negara dengan adanya kemestian pengecualian apabila berhadapan dengan jenama besar.

Antaranya termasuklah bahasa Mandarin yang merupakan bahasa besar dunia dan China sebagai kuasa ekonomi hebat dunia pada barangan tertentu dari sana.

Seperkara penting di sini ialah kedaulatan undang-undang yang merupakan prinsip keempat pada Rukun Negara, iaitu ideologi nasional kita.

Dengan ini, ia bermakna semua pihak, termasuk dari luar dan dalam negara hendaklah mematuhi segala perundangan yang wujud di Malaysia.

Sesungguhnya Akta Kerajaan Tempatan dan Undang-Undang Kecil Iklan itu adalah yang sebanding-bandingnya. Ini kerana ia sama sekali tidak menyekat penggunaan apa-apa jua bahasa.

Sebaliknya ia membenarkan penggunaannya dengan syarat tertentu yang didapati amat setimbal dengan martabat negara ini sebagai negara Melayu-Islam.

Sehubungan ini, martabat tersebut hendaklah selalu dimuliakan dalam suasana kepelbagaian etnisiti yang wujud di negara ini.

Sebenarnya akta dan undang-undang kecil itu adalah manifestasi kemajmukan yang terdapat di bumi Melayu-Islam ini.

Oleh itu, ia harus dikekalkan begini yang begitu unggul sifatnya, iaitu dengan unsur Melayu-Islam diiringi oleh yang bukan Melayu dan bukan Islam pada kesempatan yang sama pula.

Pihak berkuasa hendaklah tegas dalam hal ini agar papan tanda dalam bahasa lain tidak lagi wujud secara bersendirian, iaitu tanpa adanya sebarang penggunaan bahasa Melayu pun sebagai bahasa negara padanya.

Sehubungan ini, notis hendaklah segera dikeluarkan kepada mana-mana pemilik papan tanda lain yang didapati melanggar akta dan undang-undang kecil itu.

Ini penting untuk bukan sahaja menjaga maruah bahasa Melayu sebagai bahasa negara, Ia juga penting untuk menonjolkan identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat.

Cadangan itu dan perlakuan etnik Cina selama ini dalam isu papan tanda ini sebenarnya memperlihat sikap mereka terhadap bahasa selain etnik Melayu itu sendiri selaku penutur sejati bahasa Melayu.

Dalam hal ini, tidak dapat disangkal langsung bahawa etnik Cina tidak pernah mempunyai pandangan tinggi terhadap bahasa Melayu dan etnik Melayu.

MASIH MENOLAK
Sebubungan ini, mereka boleh membuat pengakuan positif bersabit perkara ini dari segi pengesahannya yang lisan mahupun bertulis. Pun begitu, perbuatan mereka menerusi pelbagai tindak-tanduk pada sepanjang masa adalah bukti nyata kepada sikap mereka yang tidak menghormati, apatah lagi menghargai bahasa Melayu, waima ia bahasa negara.

Ini antaranya dapat dilihat dengan jelasnya dalam bidang pendidikan apabila pelbagai saranan tentang mata pelajaran bahasa Melayu ditolak.

Sebenarnya penolakan oleh etnik Cina terhadap bahasa Melayu, baik dalam bidang pendidikan mahupun yang lain-lain, adalah antara manifestasi keengganan mereka berintergrasi ke dalam struktur sosial Melayu yang merupakan syarat utama untuk mahu terus tinggal di bumi Melayu-Islam ini.

Malah berintegrasi ke dalam struktur sosial etnik tempatan adalah kewajipan mereka yang mendatangi tempat etnik lain. Namun kewajipan harus ini tidak dapat difahami oleh etnik Cina.

Sehubungan ini, mereka mahu lantas rakus untuk terus mementingkan individualisme etnik sendiri tanpa langsung menghiraukan budaya kolektivisme yang merupakan pola budaya timur kita.

Dalam pada ini, kolektivisme yang menekankan pandangan, kehendak dan matlamat kumpulan, khususnya etnik Melayu-Islam bukan sahaja perlu dipertahan.

Ia juga hendaklah dijadikan kerjasama utama antara kita selain komitmen wajib untuk memastikan wujud keharmonian sosial.

Sepatutnya selepas sekian lama menubuhkan negara dan membina negara bangsa, etnik Cina bukan sahaja seharusnya memiliki pemikiran watan, juga mempunyai jati diri setempat.

Namun malangnya ia tidak begitu terserlah, malah tiada langsung dengan tingkah laku mereka yang secara keseluruhannya tidak positif langsung dalam ranah kenegaraan yang asasnya adalah Melayu-Islam.

Dalam pada ini, etnik Cina sangat perlu mengubah sikap mereka yang terang-terangan tidak pun positif terhadap etnik Melayu yang melibatkan pelbagai unsur watan.

Dalam hal ini, sikap itu bukan sekadar pengakuan yang boleh dengan mudahnya dipositifkan.

Ia sebenarnya tingkah laku, lebih-lebih lagi yang sifatnya tidak sedar, yang dengan jelas dan tuntasnya akan mendedahkan fiil dan watak sebenar mereka yang rata-ratanya didapati langsung tidak watan.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×