PENGGUNAAN kaedah pembayaran digital seperti kad debit, kad kredit dan e-dompet semakin meluas di Malaysia menawarkan kemudahan dan kecekapan dalam transaksi harian.
Kajian terbitan Ipsos pada Januari 2024 mendapati bahawa 51 peratus rakyat Malaysia kini menggunakan transaksi tanpa tunai, mencerminkan peningkatan kebergantungan terhadap sistem ini.
Malah, semakin banyak premis perniagaan hanya bergantung kepada sistem pembayaran digital sepenuhnya, menunjukkan perubahan besar dalam cara masyarakat berurus niaga.
Namun, isu keselamatan tetap menjadi kebimbangan utama, memandangkan risiko penipuan dalam talian masih wujud walaupun pembayaran digital dilengkapi dengan ciri keselamatan seperti pengesahan dua faktor dan enkripsi data.
Statistik menunjukkan jumlah kes penipuan berkaitan pembayaran digital masih berada pada angka yang besar dan merisaukan pengguna.
Sehingga Ogos 2024, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerima 122,603 panggilan aduan berkaitan kes penipuan, dengan jumlah kerugian sebanyak RM371 juta.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, ini membuktikan bahawa walaupun pembayaran digital menawarkan kemudahan, ia masih terdedah kepada risiko jenayah kewangan dalam talian.
Jelasnya, penggunaan sistem tanpa tunai yang semakin meluas memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh untuk memastikan keselamatan pengguna dan kerajaan telah mengambil langkah proaktif untuk menangani isu ini.
“Bank Negara Malaysia (BNM) menguatkuasakan mekanisme “kill switch” yang membolehkan pengguna membekukan akaun mereka sendiri jika terdapat aktiviti mencurigakan.
“Selain itu, pindaan undang-undang telah dibentangkan untuk membanteras jenayah penipuan kewangan dalam talian, termasuk isu ‘keldai akaun’.
“Pada masa yang sama, pendidikan dan kesedaran literasi digital di peringkat lebih awal, seperti sekolah rendah dan menengah, perlu dipergiatkan. Langkah ini bertujuan mendidik generasi muda mengenai risiko dan langkah pencegahan penipuan digital serta memastikan mereka memahami cara penggunaan teknologi kewangan secara selamat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jelas Siraj, pihak bank juga disarankan untuk memperkukuh sistem keselamatan dan meningkatkan kesedaran pengguna mengenai amalan keselamatan dalam talian.
“Dengan usaha kolektif ini, keyakinan terhadap pembayaran digital dapat dipertingkatkan tanpa mengorbankan keselamatan pengguna,” katanya.
Sementara itu, pelajar universiti, Wan Ahmad Aiman Haqem Wan Mahadhir, 22, ditemui berkata, transaksi digital dilihat membantu masyarakat mempermudah urusan sebarang transaksi kewangan di mana sahaja dan cepat.
“Bagaimanapun, terdapat keburukan juga termasuk perlu ada rangkaian internet dan risiko gangguan pada aplikasi,” katanya.-UTUSAN










