Malaysia tekan perlu pembaharuan dalam WTO

Malaysia tekan perlu pembaharuan dalam WTO

ANWAR Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Dr. Ngozi Okonjo-Iweala yang dalam lawatan sulung ke Malaysia dari 6 hingga 8 Disember 2024. - GAMBAR MITI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menekankan kepentingan keadilan dan keselamatan dalam perdagangan global sambil menekankan keperluan untuk pembaharuan dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Ia termasuk memulihkan mekanisme penyelesaian pertikaian dan memupuk dialog inklusif untuk menangani kebimbangan semua ahli, khususnya negara membangun.

Perkara itu disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pertemuan dengan Ketua Pengarah WTO, Dr. Ngozi Okonjo-Iweala yang dalam lawatan sulung beliau ke Malaysia dari 6 hingga 8 Disember 2024, diselaras dan dihoskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semasa pertemuan tersebut, Dr. Ngozi dan Anwar turut membincangkan isu geopolitik yang mendesak dan cabaran perdagangan global.

“(Ia), termasuk pertambahan perlindungan perdagangan dan kelemahan sistem penyelesaian pertikaian yang telah menjejaskan kredibiliti WTO sebagai organisasi antarabangsa tunggal yang menyelia peraturan perdagangan global, serta memastikan keadilan dan keselamatan dalam perdagangan global,” menurut MITI dalam kenyataan.

 

Dalam pada itu, Malaysia menggesa WTO memainkan peranan lebih besar dalam menyokong akses saksama kepada teknologi hijau, pembiayaan iklim dan pembinaan kapasiti bagi negara membangun.

Gesaan itu disuarakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pertemuan beliau dengan Dr. Ngozi dengan perbincangan tertumpu kepada komitmen Malaysia untuk memelihara kredibiliti WTO dan memacu agenda pembaharuannya.

“Malaysia komited untuk menegakkan prinsip sistem perdagangan pelbagai hala (MTS). Sebagai sebuah negara yang bergantung kepada perdagangan, kami mengiktiraf kepentingan memupuk persekitaran perdagangan global yang adil dan inklusif untuk memanfaatkan semua negara, khususnya dengan landskap geopolitik masa kini yang kompleks.

“MITI akan terus bekerjasama rapat dengan WTO dan rakan kongsi antarabangsa yang lain untuk memastikan MTS bersedia untuk menghadapi cabaran abad ke-21,” kata Tengku Zafrul.

Beliau juga menekankan kesediaan Malaysia untuk memanfaatkan jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025 bagi menyokong kestabilan perdagangan serantau dan global.

Sementara itu, Dr. Ngozi mengiktiraf kepimpinan proaktif Malaysia di mana kedudukan Malaysia sebagai negara kuasa pertengahan memberikannya keupayaan unik untuk merapatkan jurang antara rantau ekonomi utama.

Dalam memacu pembaharuan yang bermakna di WTO, beliau mengakui kepentingan untuk melindungi MTS demi kestabilan perdagangan global.

Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, beliau melahirkan harapan Malaysia akan dapat memimpin rantau ini dalam menyokong usaha ke arah pembaharuan WTO. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×