WASHINGTON: Bank Dunia berjaya mengumpulkan hampir AS$24 bilion (RM106 bilion) untuk menyediakan pinjaman dan geran kepada negara termiskin di dunia, yang boleh dimanfaatkan bagi menjana rekod jumlah kuasa perbelanjaan berjumlah AS$100 bilion (RM442 bilion).
Negara penderma komited menyumbang sebanyak AS$23.7 bilion (RM104.85 bilion) untuk menambah dana cabang pinjaman konsesi bank tersebut, yang dikenali sebagai Persatuan Pembangunan Antarabangsa (IDA), menurut jurucakap Bank Dunia kepada AFP.
Jumlah itu meningkat sedikit daripada kira-kira AS$23.5 bilion (RM103.97 bilion) yang dijanjikan oleh negara penderma semasa pusingan pengumpulan dana terakhir tiga tahun lalu.
Dana itu akan membolehkan Bank Dunia meminjam di pasaran kewangan, meningkatkan jumlah yang diperoleh kepada kira-kira empat kali ganda dan membuka kira-kira AS$100 bilion (RM442 bilion) dalam bentuk pinjaman serta geran baharu, meningkat daripada AS$93 bilion (RM411 bilion) pada 2021.
“Kami percaya kejayaan bersejarah pengumpulan dana IDA21 ini merupakan tanda keyakinan dan sokongan penderma serta pelanggan.
“Ia adalah hasil usaha kami untuk menjadi sebuah institusi yang lebih pantas, mudah dan berkesan,” menurut kenyataan Bank Dunia, merujuk kepada pusingan pembiayaan IDA semasa.
Pengumuman Bank Dunia itu susulan perbincangan dua hari di ibu negara Korea Selatan, Seoul, selepas Presiden, Yoon Suk Yeol mengisytiharkan undang-undang tentera pada Selasa, sebelum menarik balik keputusan tersebut di bawah tekanan ahli Parlimen.
IDA menyediakan geran untuk menyokong 78 negara termiskin di dunia, merangkumi pelbagai isu daripada kesan ekonomi pandemik Covid-19 hingga penyesuaian terhadap perubahan iklim.
Menurut kenyataan Bank Dunia, ia merupakan satu-satunya sumber kewangan konsesi atau di bawah pasaran untuk negara-negara tersebut, dengan sekitar tiga perempat daripada keseluruhan pembiayaan IDA disalurkan untuk menyokong negara di Afrika.
Penambahan dana IDA adalah elemen penting dalam operasi Bank Dunia dan dilakukan setiap tiga tahun, dengan sebahagian besar pembiayaan daripada Amerika Syarikat (AS), Jepun serta beberapa negara Eropah termasuk United Kingdom (UK), Jerman dan Perancis.
Tahun ini, AS mengumumkan lebih awal bahawa ia memberikan rekod AS$4 bilion (RM17.69 bilion) untuk pembiayaan baharu kepada IDA, manakala negara lain termasuk Norway dan Sepanyol juga meningkatkan sokongan kewangan mereka dengan ketara.
Sebanyak 35 bekas penerima bantuan IDA berjaya keluar daripada status ekonomi membangun dalam beberapa dekad lalu, termasuk China, Turkiye dan Korea Selatan, yang kini menjadi penyumbang kepada dana tersebut.– AFP










