SEOUL: Parti Demokrat pembangkang utama Korea Selatan berkata, ahli Parlimen sedang bersiap sedia selepas menerima banyak laporan mengenai satu lagi pengisytiharan undang-undang tentera, lapor agensi berita Yonhap.
Menurut laporan itu, parti pembangkang juga akan mengadakan mesyuarat tergempar pagi ini.
Sementara itu, ketua parti pemerintah Korea Selatan dilaporkan menggesa Presiden, Yoon Suk Yeol untuk menggantung tugas segera, mendakwa rakyat mungkin berada dalam ‘bahaya besar’ jika beliau kekal berkuasa.
Ketua Parti Kuasa Rakyat (PPP), Han Doong-hoon menambah, pihaknya menerima bukti yang boleh dipercayai bahawa Suk Yeol telah mengarahkan penahanan ahli politik utama atas tuduhan anti-negara ketika beliau mengisytiharkan undang-undang tentera pada malam Selasa lalu.
Komen yang dibuat pada mesyuarat tergempar parti pagi ini berbeza daripada pendiriannya sebelum ini bahawa partinya akan menghalang usul pemecatan Suk Yeol yang dibawa pembangkang.
Pembangkang memerlukan sokongan sekurang-kurangnya lapan ahli Parlimen parti yang memerintah untuk memastikan usul pemecatan itu berjaya dilaksanakan.-AGENSI










