BATU GAJAH: Mangsa banjir di Kampung Pasir Batu 10 dan Kampung Tanjung Tin di sini menyifatkan bencana banjir kali ini bukan saja terburuk selepas 24 tahun tetapi turut melahirkan rasa pelik kerana air banjir berwarna hitam selain berbau minyak diesel.
Rata-rata penduduk ditemui mendakwa situasi berkenaan mungkin berpunca daripada ban pecah di Sungai Kinta yang menyebabkan air melimpah hingga memasuki bengkel kenderaan atau stor simpanan minyak.
Penduduk, Ainul Muhamad, 66 dari Kampung Batu Pasir Batu 10, sedang memasak lauk untuk makan tengah hari semalam, terkejut apabila secara tiba-tiba cucunya menjerit yang air naik memenuhi sekeliling rumah.
“Saya tidak sempat untuk angkat barang-barang berat seperti perabot, peti ais dan mesin basuh. Kudrat orang tua selain cucu masih kecil lagi. Waktu itu juga hujan tidaklah selebat mana tetapi berterusan sejak sehari sebelum itu (kelmarin),” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Tanjung Tualang di sini semalam.
Seramai 26 keluarga merangkumi 72 mangsa di PPS daripada tiga buah kampung terjejas iaitu Kampung Pasir Batu 10, Kampung Tanjung Tin dan Kampung Sikh Settlement. – UTUSAN











