November bulan paling tragis buat Pakistan

November bulan paling tragis buat Pakistan

PENUNJUK perasaan memegang sepanduk semasa protes menentang serangan mazhab di wilayah pergunungan Khyber Pakhtunkhwa di Karachi, Pakistan.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KARACHI: Sekurang-kurangnya 245 orang termasuk 68 anggota keselamatan terbunuh rentetan serangan pengganas dan pertempuran di seluruh Pakistan bulan lalu.

Menurut data dikeluarkan Kajian Konflik dan Keselamatan Pakistan (PICSS), sebuah badan pemikir yang berpangkalan di Islamabad semalam, jumlah kematian itu termasuk 127 disyaki militan dan 50 orang awam.

November adalah bulan kedua paling maut selepas Ogos, apabila 254 orang kehilangan nyawa, termasuk 92 orang awam, 108 militan dan 54 anggota keselamatan.

Namun, dari segi korban yang melibatkan anggota keselamatan, November menjadi bulan paling maut tahun ini berbanding Oktober, di mana 62 tentera terbunuh.

Kira-kira 257 orang, termasuk 104 anggota keselamatan dan 119 orang awam, turut cedera dalam pertempuran dan pengeboman di seluruh negara Asia Selatan itu, yang menyaksikan lonjakan serangan pengganas sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Daripada jumlah korban, 131 kematian berlaku dalam serangan pengganas, termasuk 54 anggota keselamatan, 50 orang awam dan 27 militan.

Wilayah Khyber Pakhtunkhwa (KP) Barat Laut, yang bersempadan dengan Afghanistan, terus menjadi kawasan paling terjejas, dengan 50 serangan pengganas mengakibatkan 71 kematian dan 85 cedera.

Daerah Kurram menyaksikan satu pertempuran mazhab paling dahsyat dalam sejarah antara puak Sunni dan Syiah, dengan lebih 120 nyawa terkorban.

Wilayah Balochistan Barat Daya merekodkan 20 serangan pengganas, mengakibatkan 60 kematian, termasuk 26 anggota keselamatan, 25 orang awam dan sembilan militan.

Laporan itu menekankan, kematian militan pada November adalah tertinggi dalam tempoh sebulan sejak Februari 2017, apabila 148 militan terbunuh.

Pasukan keselamatan turut mengalami kerugian besar, dengan 68 anggota terkorban, angka bulanan tertinggi sejak Januari 2023, apabila 114 anggota terbunuh.

Data menunjukkan jumlah kematian akibat serangan militan mencecah 1,082 dalam 11 bulan pertama tahun ini.

Laporan itu berkata, tahun 2024 mencatatkan sejumlah 856 serangan militan berbanding 645 pada 2023, menunjukkan cabaran keselamatan yang semakin meningkat di negara itu.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×