SYDNEY: Polis Australia merampas 2.3 tan kokain dan menahan 13 individu dalam satu serbuan selepas bot suspek rosak di luar pantai Queensland.
Polis persekutuan dalam kenyataan hari ini berkata, rampasan itu dianggarkan bernilai AS$494,000 (RM2.2 juta) dan bersamaan dengan 11.7 juta transaksi jalanan jika sampai ke negara yang mempunyai 28 juta penduduk.
Penyiasat memberitahu pemberita di Brisbane, dadah tersebut dihantar dari sebuah negara Amerika Selatan yang tidak dikenali.
Penangkapan pada Sabtu dan Ahad itu susulan siasatan selama sebulan selepas maklumat kumpulan motosikal Comancheros merancang operasi penyeludupan dadah berskala besar, kata Komander Polis Persekutuan Australia, Stephen Jay.
Penyeludup melakukan dua percubaan untuk mengangkut dadah ke Australia melalui laut dari kapal induk yang terapung ratusan kilometer dari pesisir, katanya.
Jay berkata, bot pertama mereka rosak dan kapal kedua karam pada Sabtu, menyebabkan suspek terperangkap di laut selama beberapa jam sehingga polis menyerbu bot nelayan dan merampas dadah.
Bagaimanapun, kapal induk itu berada di perairan antarabangsa dan tidak ditahan, katanya.
Beliau berkata, pihak berkuasa pernah merampas lebih satu tan kokain sebelum ini, tetapi rampasan hujung minggu lalu adalah yang terbesar direkodkan di Australia.
Mereka yang didakwa dituduh bersubahat mengimport dadah ke Australia melalui laut dan sepatutnya di pelbagai mahkamah hari ini.
Hukuman maksimum di bawah tuduhan itu adalah penjara seumur hidup.
Polis berkata, sebahagian mereka ditangkap di atas bot, manakala yang lain menunggu di pantai untuk mengambil kokain.
Dua daripada suspek adalah bawah 18 tahun dan semua merupakan warga Australia.
“Australia adalah pasaran yang sangat menarik bagi kumpulan jenayah terancang untuk menghantar dadah seperti kokain,” kata Jay.– AP










