TUMPAT: Dua warga emas dari Kampung Dalam Rhu mengerah kudrat dengan membina benteng menggunakan guni diisi pasir bagi mengelakkan rumahnya rosak ‘dihentam’ arus deras banjir.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Wan Som Wan Dollah, 74, berkata, sejak air melimpah masuk ke kawasan pekarangan rumahnya sedalam 0.3 meter, dia tidak tidur lena memikirkan keselamatan diri dan keluarga.
“Takut dengan arus deras yang boleh memberikan kesan kepada tapak rumah, saya kerah kudrat dengan mengisi pasir dalam guni untuk dijadikan sebagai benteng.
“Saya ada anak, namun mereka semua bekerja di luar Kelantan. Selain itu, jiran-jiran juga turut mengambil langkah sama kerana khuatir arus deras boleh memberikan kesan buruk kepada tapak rumah,” katanya ditemui di sini semalam.
Seorang lagi warga emas, Pah Mat Ali, 77, berkata, selain air banjir penduduk di sini berdepan air pasang besar dan kedudukan rumahnya di kawasan rendah menyebabkan air mudah bertakung.
“Saya juga turut membina benteng menggunakan guni berisi pasir. Bila dapat tahu ada rumah di Kampung Baru Nelayan roboh disebabkan arus deras banjir, kami ambil keputusan untuk bina benteng guna guni diisi pasir,” ujarnya. – UTUSAN










